Monday, September 28, 2009

BAYARAN INSENTIF BITK PEMBANTU TADBIR GRED W17 TIDAK SEPADAN

Berita Harian
28/9/2009


SAYA seorang kakitangan kerajaan, ingin berkongsi pendapat dengan semua pembaca. Luahan ini ditujukan khas kepada Jabatan Perkhidmatan Awam, Jabatan Akauntan Negara Malaysia dan Cuepacs.

Untuk perhatian, kami Pembantu Tadbir Gred W17 dan N17 yang membuat kerja kewangan hanya memperoleh Bayaran Insentif Tugas Kewangan (BITK) sebanyak RM40 sejak 1999 sehingga kini, sedangkan tugas kami sangat berat sebagai nadi bagi kemajuan negara.

Bagi menarik minat Pembantu Tadbir gred N9 ketika itu supaya memilih opsyen pertukaran gred dari N9 ke gred W17 yang disebut sebagai Pembantu Tadbir (Kewangan), kerajaan menawarkan insentif BITK. Bayaran BITK bermula pada 1 Mei 1999 dengan kadar RM40 sebulan kepada semua pegawai kumpulan sokongan gred 17 sehingga gred 22.



Untuk meningkatkan jumlah insentif BITK ini, semua pegawai yang menjalankan tugas bidang kewangan dikehendaki menduduki peperiksaan yang tahap kesukaran penilaiannya sangat tinggi. Selepas lulus peperiksaan berkenaan barulah bayaran insentif kewangan itu dinaikkan kepada RM80 sebulan.

Sejak tahun lalu, kerajaan memperkenalkan sistem ‘star ranking’ kepada semua kementerian. Oleh demikian, mana-mana Ketua Setiausaha (KSU) kementerian/jabatan yang prestasi pengurusan kewangannya kurang memuaskan, pegawai berkenaan tidak disahkan dalam jawatan.

Sejak 1999, tiada kajian semula dilakukan ke atas kadar bayaran BITK ini. Tambahan pula sekarang ini, semua sistem perakaunan ditukar daripada sistem BAS (Branch Accounting System) kepada sistem GFMAS (Government Financial And Management Accounting System) dengan tempoh bayaran yang dulunya mengambil masa 30 hari, sekarang sudah dipendekkan kepada 14 hari.

Difahamkan pada masa akan datang Jabatan Akauntan Negara (JAN) memaklumkan segala pembayaran dipendekkan selama lima hari saja iaitu tiga hari di Pusat Tanggung Jawab (PTJ) dan dua hari di JAN dan semua PTJ sekarang terpaksa menyimpan sendiri semua baucar yang dibuat pembayaran dan tidak lagi perlu di hantar ke JAN seperti amalan dulu.

Perbezaan gaji di antara Pembantu Tadbir gred N17 dengan Pembantu Tadbir gred W17 cuma RM1.05 tetapi beban kerja dan tanggungjawab yang perlu dipikul oleh Pembantu Tadbir gred W17 adalah lebih mencabar.

Selain beban tugas, mereka juga perlu mematuhi tempoh masa menyediakan kerja mengikut waktu ditetapkan atau tamat tempoh yang sangat ketat. Atas keperluan memenuhi tempoh ditetapkan ini, Pembantu Tadbir W17 juga sering kali terpaksa mengorbankan masa yang sepatutnya diperuntukkan bersama-sama keluarga untuk melakukan kerja kewangan selepas waktu pejabat atau hari cuti mingguan.

Peperiksaan BITK yang mengandungi 40 soalan amat sukar dilepasi kerana graf untuk lulus terlalu tinggi, ibarat tidak boleh salah walaupun satu soalan.

Bagi pegawai perempuan yang bercuti bersalin, pembayaran BITK akan diberhentikan dan kadangkala terpaksa membuat pembayaran balik manakala bagi elaun lain contohnya Elaun Pembantu Khas, ia akan tetap dibayar walaupun pegawai berkenaan bercuti bersalin.

LUAHAN HATI,

Insan Terabai.

1 comment:

Kastam Tua said...

Pegawai Kastam juga W17 dan terlibat dengan BITK tetapi tidak semua dapat. Mereka yang terlibat sahaja yang dapat. Sepatutnya semua pegawai Kastam dapat BITK kerana mereka juga W17 seperti Pembantu Tadbir Kewangan W17 yang dapat secara automatik.