Monday, July 4, 2011

Kes kematian Ahmad Sarbani : Perbicaraan bermula hari ini



Isteri kepada Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed hari ini memberitahu Mahkamah Koroner di sini bahawa suaminya tidak mungkin membunuh diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, pada 6 April lalu.

Masiah@Maziah Manap, 50, yang merupakan saksi pertama dalam prosiding inkues untuk menyiasat kematian Ahmad Sarbani, berkata suaminya adalah seorang yang tenang, bersikap rasional, penyabar dan bukan seorang yang suka bertindak meluru.”Sebagai orang Islam yang menunaikan sembahyang lima waktu, tidak mungkin suami akan berbuat demikian,” katanya.

Ibu kepada lima anak itu berkata pada hari kejadian suaminya ada memaklumkan kepada anak perempuan mereka bahawa dia akan pulang ke rumah tengah hari itu.

“Suami tidak cakap apa-apa pada saya tetapi arwah memaklumkan perkara itu kepada Shahirah (anak) sebelum beliau pergi ke pejabat SPRM dan ini yang meyakinkan saya bahawa dia nak balik,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohamad Abbas.

Masiah, yang mendirikan rumah tangga dengan Ahmad Sarbani hampir 28 tahun, berkata pada 1 April lalu, dia menerima panggilan daripada anaknya, Shahira yang memaklumkan arwah ingin bercakap dengannya tetapi panggilan berkenaan terputus.

“Apabila saya pulang ke rumah pada 9 malam, anak saya memberitahu abah (panggilan untuk Ahmad Sarbani) tidur di SPRM dan saya kemudian cuba menghubungi beliau tetapi gagal.

“Pada keesokannya (2 April), saya cuba menghubunginya sekali lagi namun tiada jawapan dan lebih kurang 10 pagi saya ada menghantar SMS (khidmat pesanan ringkas) kepadanya menyatakan: “Kalau kita di pihak yang benar, Allah akan bantu… kalau boleh, balik la, hari Ahad ni (3 April) kita ada kursus haji,” katanya.

Masiah, yang bekerja sebagai penyelia di Petronas, berkata arwah suaminya pernah memberitahu bahawa dia telah dianiayai oleh ejen.

“Saya pernah bertanya kepadanya, apa masalah yang berlaku sekarang ini hinggakan SPRM menahannya dan dia (Ahmad Sarbani) berkata ejen menganiayainya berkenaan baucar bernilai RM100.

“Menurut suami saya, ejen itu mengaku bahawa RM70 daripada RM100 baucar itu dia ambil manakala RM30 diberikan kepada suami saya… namun suami memaklumkan kepada saya dia tidak ambil RM30 dan tidak tandatangani baucer berkenaan,” katanya.

Selain itu, Masiah berkata pegawai SPRM menghubunginya dan memberitahu bahawa suaminya rebah dan telah meninggal dunia tanpa dimaklumkan bahawa Ahmad Sarbani sebenarnya telah jatuh dari tingkat tiga bangunan itu.

“Apabila saya pergi ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bersama empat anak perempuan untuk membuat pengecaman mayat suami, saya nampak muka arwah seperti dihempuk ke dinding dan mukanya penuh dengan ketulan darah beku.

“Mereka (pegawai SPRM) memberitahu saya bahawa dia (Ahmad Sarbani) rebah, tetapi saya tengok mukanya kelihatan mencurigakan,” katanya.

Sementara itu, Deputi Superintendan Sharul Othman Mansor yang bertugas di Makmal Forensik Bukit Aman memberitahu prosiding beliau berpendapat Ahmad Sarbani terjatuh dari tingkap di Bilik Pantri di Aras 3, bangunan SPRM itu ketika dia ingin keluar dari pejabat berkenaan melalui tingkap itu.

“Saya percaya si mati (Ahmad Sarbani) cuba melompat ke bumbung di bangunan SPRM yang berhampiran dengan tingkap tersebut tetapi tidak sampai dan terjatuh di gelanggang badminton di aras satu bangunan itu,” katanya ketika disoal Timbalan Pendakwa Raya Hanim Mohd Rashid.

Sharul Othman berkata apabila seseorang berada di bilik pantri itu, dia boleh nampak bumbung berkenaan dekat dengan tingkap di Aras Tiga, namun apabila dibuat ukuran, jaraknya agak jauh iaitu sembilan kaki 11 inci.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 6 April lalu.

Dia dilaporkan pergi ke pejabat itu secara sukarela untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Koroner Aizatul Akmal Maharani, yang mendengar prosiding itu, dijadual melawat ke tempat kejadian di bangunan SPRM, Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane pada 10 pagi esok. – BERNAMA

Inkues kematian Ahmad Sarbani bermula

KUALA LUMPUR: Prosiding inkues untuk menyiasat punca kematian Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed bermula di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Prosiding itu yang didengar di hadapan koroner Aizatul Akmal Maharani, dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Abazafree Mohd Abas dan Hanim Mohd Rashid.


Turut serta peguam Datuk Seri Muhammad Shafee Abdullah dan Fadzillah Mohd Osman yang mewakili Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta peguam Awtar Singh yang bertindak sebagai peguam pemerhati mewakili keluarga Allahyarham.

Selain itu, peguam Salim Bashir, Roger Than dan Halim Asghar daripada Majlis Peguam turut bertindak sebagai peguam pemerhati.


Seramai 30 saksi, termasuk isteri Allahyarham, pegawai penyiasat tempat kejadian, pegawai SPRM, pegawai Kastam, pakar forensik dan pakar patalogi akan dipanggil memberi keterangan.