Wednesday, June 8, 2011

CUEPACS harap PROSPEK beri lebih peluang kenaikan pangkat

KUALA TERENGGANU: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) mampu memberi kemudahan dan peluang kenaikan pangkat lebih terbuka kepada penjawat awam.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata dengan pelaksanaan sistem baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang akan berkuat kuasa 1 Julai ini, ia dapat bertahan lebih lama berbanding PTK yang hanya berjaya semasa tiga tahun pertama pelaksanannya.
"Sebelum ini, PTK dilaksanakan selama lapan tahun dan ia hanya berjalan lancar pada tiga tahun pertama. Kemudian sistemnya makin goyah dan tidak ke mana, jadi kita mengharapkan PROSPEK sebagai satu transformasi untuk pemantapan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Beliau menghadiri majlis perasmian seminar Pengurusan Kewangan Kumpulan Pelaksana (Sokongan I & II) Badan Berkanun Malaysia bertajuk "Cabaran Pengurusan Kewangan Dalam Era Globalisasi".

Omar berkata, apa yang terdapat dalam PTK sebelum ini tidak akan hilang tetapi melalui transformasi penambahbaikan dengan memberi penekanan terhadap beberapa perkara termasuk kompetensi dan ganjaran.

Katanya, dengan itu penjawat awam boleh dinaikkan pangkat tanpa perlu menunggu kekosongan jawatan malah mereka juga akan dinilai jika hadir mana-mana seminar yang berkaitan dengan jawatan mereka sendiri.

"Ganjaran kenaikan pangkat juga akan diberikan berasaskan aspek sahsiah, sukan, disiplin dan had pencapaian mereka berasaskan penilaian yang dilakukan oleh panel penilai yang akan dilantik terdiri daripada wakil ketua jabatan, pegawai kerajaan supaya ia lebih telus," katanya.
Omar berkata, dari semasa ke semasa, penambahbaikan akan dilakukan supaya PROSPEK lebih efisien serta kompetensi dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) juga bersedia berunding dari semasa ke semasa untuk melakukan penambahbaikan terhadap sistem penilaian baru itu.

Katanya, lapan prinsip yang menjadi teras kepada penilaian baru itu meliputi falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian. - BERNAMA

Thursday, June 2, 2011

Polis Syor Inkues Siasat Kematian Sarbaini


Thursday, 02 June 2011 | Ruangan: Berita

KUALA LUMPUR, 2 Jun – Ketua Jabatan Siasatan Polis Kuala Lumpur Asisten Komisioner Datuk Ku Chin Wah berkata pihak Polis akan mengesyorkan agar satu inkues diadakan bagi menyiasat punca kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbaini Mohamad, kata

Laporan The Star Online memetik Chin Wah Ku berkata Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail juga telah bersetuju dengan cadangan itu.

Baru-baru ini, keluarga Allahyarham Ahmad Sarbaini mahu polis mendedahkan perkembangan terbaru hasil siasatan kematiannya dua bulan lalu di pejabat SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Ini kerana, menurut sumber yang rapat dengan keluarga Ahmad Sarbaini, sehingga kini masih tiada perkembangan, menyebabkan keluarga itu tertanya-tanya status sebenar hasil siasatan tersebut.

Tambah sumber itu, perkembangan terakhir yang diketahui pada 4 Mei lalu di mana kertas siasatan kematian Ahmad Sarbaini akan dihantar semula ke Jabatan Peguam Negara.

“Kami nak tahu apa status terkini sekarang, kami tertanya-tanya apa yang berlaku dan perkembangan kes ini.

“Saya sendiri tertanya-tanya apa status kes ini sekarang, sebab saya lihat macam tidak ada apa-apa yang berlaku… senyap begitu sahaja,” katanya ketika dihubungi The Malaysian Insider.

Semalam, pemimpin-pemimpin PKR menyerahkan memorandum kepada Ketua Polis Negara menggesa diadakan siasatan lanjut ekoran dakwaan wujud bukti baru, yang dikemukakan oleh balu Allahyarham Ahmad Sarbaini bulan lalu.

Friday, May 20, 2011

PROSPEK PENGGANTI PTK BERKUATKUASA 1 JULAI


Bernama
19/5/2011


PUTRAJAYA, 19 Mei (Bernama) -- Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi atau PROSPEK menjadi pengganti kepada Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang berkuatkuasa 1 Julai ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Abu Bakar Abdullah.

Beliau berkata lapan prinsip yang menjadi teras kepada penilaian baru itu meliputi falsafah, tujuan, dimensi kompetensi, kaedah penilaian dan pembangunan kompetensi, fleksibiliti, kawalan kualiti, ganjaran dan pencapaian penilaian.

"Walau bagaimanapun, sebarang penambahbaikan pelaksanaan boleh dibuat atau dirunding dari semasa ke semasa.

"Itu jaminan saya," katanya pada majlis Menandatangani Persetujuan Bersama JPA-Cuepacs Mengenai Penilaian Baru Kompetensi Menggantikan PTK di sini Khamis.

Turut hadir Presiden Cuepacs Datuk Omar Osman.

Abu Bakar berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Cuepacs secara bersama bersetuju bahawa falsafah penilaian berasaskan kompetensi diteruskan dengan memperluaskan skopnya meliputi pembangunan kompetensi dan potensi.

"Pengenalan penilaian potensi sebagai nilai tambah kepada penilaian baru ini bertujuan memantapkan lagi fungsi pengurusan bakat dalam perkhidmatan," katanya.

Beliau berkata selain dimensi asas kompetensi seperti pengetahuan, kemahiran dan sikap, kedua-dua pihak bersetuju dimensi tambahan diperkenalkan iaitu kreativiti dan inovasi selaras dengan nilai semasa yang diberi penekanan oleh kerajaan dalam pembangunan negara.

Katanya kaedah penilaian bagi kumpulan pelaksana tidak lagi berasaskan peperiksaan tetapi ditentukan oleh panel penilai yang berwibawa yang akan menilai kompetensi yang diperlukan pada sesuatu jawatan.

Katanya hasil penilaian akan menentukan status kompetensi pegawai sama ada mempunyai kompetensi 'cemerlang dan berpotensi tinggi', 'memenuhi kompetensi dan berpotensi' atau 'memerlukan pembangunan'.

Abu Bakar berkata pegawai yang melalui proses penilaian dan pembangunan serta memenuhi kriteria penilaian yang ditetapkan, berpeluang menikmati ganjaran dalam bentuk pembangunan diri dan kemajuan kerjaya.

"Faedah pembangunan diri termasuk peluang mengikuti pelbagai program pembangunan untuk meningkatkan kompetensi dan potensi seseorang pegawai serta pengiktirafan lain seperti Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, Pingat Perkhidmatan Cemerlang dan lain-lain.

"Manakala faedah kemajuan kerjaya termasuk pertimbangan untuk kenaikan pangkat mengikut skim perkhidmatan masing-masing dan peluang mengikuti latihan di dalam atau di luar negeri," katanya.

Katanya pegawai yang berada di gred kenaikan pangkat pula akan mengikuti program pembangunan kompetensi dan potensi yang ditetapkan mengikut gred yang berkenaan.

"Kaedah pembangunan boleh berbentuk program seperti Pembangunan Kompetensi Berterusan, Latihan Berteraskan Kompetensi dan seumpamanya," katanya.

Abu Bakar berkata ketua perkhidmatan dan ketua jabatan diberi fleksibiliti dalam menentukan aspek dan kaedah penilaian dan pembangunan sesuai dengan keperluan kompetensi jawatan berkenaan.

Katanya pada keseluruhannya penilaian kompetensi baru ini adalah berbentuk program yang bersepadu bermula dengan pengenalpastian kompetensi pegawai di gred lantikan yang diikuti dengan pelbagai program pembangunan diri termasuk bimbingan, pementoran dan latihan sesuai dengan keperluan pembelajaran pegawai yang berkenaan.

"Setelah berada di gred kenaikan pangkat, pegawai seterusnya akan melalui program pembangunan kompetensi dan potensi yang dirancang secara sistematik sehingga ke akhir kerjaya seseorang pegawai," katanya.

Katanya pada masa ini, pihak JPA sedang meneliti draf akhir pekeliling berkenaan yang dijangka akan dikeluarkan pada akhir bulan ini.

Mengulas mengenai tiga permohonan Cuepacs, Abu Bakar berkata pihaknya tidak dapat menjanjikannya kerana setiap perancangan kewangan perlu dilaksanakan dengan baik.

Terdahulu, Omar dalam ucapannya memohon kepada JPA supaya kenaikan pangkat secara time-based dikekalkan, bukan berdasarkan kepada kompetensi tertentu; dan kedua perlu ada kenaikan pangkat secara istimewa yang tidak tertakluk kepada jawatan kosong.

"Selepas pergi mana-mana kursus atau meningkatkan kompetensi tetapi balik tidak juga dapat kenaikan pangkat. Jadi, kita mahu mana-mana penjawat awam yang pergi bagi meningkatkan kompetensi dan potensi, supaya balik tanpa temuduga terus mendapat kenaikan yang cemerlang dan istimewa," katanya.

Katanya yang ketiga ialah insentif diberikan apabila seseorang pengawai itu mendapat kenaikan pangkat dan sebagainya.

-- BERNAMA

______________________________________________________________________

Gambar dari Media Cuepacs





Tuesday, May 10, 2011

EJEN PEMANTAU PENJAWAT AWAM

Berita Harian
Oleh Syuhada Choo Abdullah dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
2011/05/10

LAPORAN  akhbar kelmarin.

LAPORAN akhbar kelmarin.


Penilaian konsep 360 darjah tingkat kepemimpinan jabatan kerajaan

KUALA LUMPUR: Penilaian tahap kecekapan berkonsep 360 darjah mulai 1 Julai depan berkesan mewujudkan hubungan 'menang-menang' yang erat antara pihak pengurusan dan kumpulan pelaksana, serta mempertingkat daya kepemimpinan cemerlang, telus dan saksama dalam jabatan kerajaan.
Pelaksanaan konsep baru itu juga disifatkan sebagai ejen pemantau kepada pentadbiran dan jentera operasi dalam perkhidmatan awam berikutan semua penjawat menyedari prestasi mereka akan diperhati serta dinilai secara berterusan oleh penyelia, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata sistem penilaian baru itu mampu menjana pembangunan profesionalisme serta kerjaya berterusan di kalangan penjawat awam melalui kursus peningkatan kecekapan, berbanding kebanyakan kursus di bawah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) lebih menjurus kepada program kesedaran dan motivasi.

“CUEPACS juga akan mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam perjumpaan esok (hari ini) supaya penilaian baru ini nanti turut memberi pertimbangan lebih 15 peratus kepada sumbangan kakitangan yang kreatif di luar bidang tugas hakiki mereka,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan, mulai 1 Julai depan, prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pelaksanaan sistem itu mampu mengelakkan berlakunya penindasan dalam hubungan antara pegawai atasan dan kakitangan bawahan, sebaliknya tindakan diambil akan lebih berhati-hati serta mengambil kira kepentingan secara keseluruhan.
“Ini secara langsung akan menggalakkan jalinan kerjasama lebih padu yang bukan saja menguntungkan pihak pentadbiran, kumpulan pelaksana, jabatan dan negara tetapi juga pelanggan atau penerima perkhidmatan,” katanya.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri, berkata konsep penilaian baru itu diyakini lebih relevan dan berkesan berbanding penilaian berasaskan peperiksaan dalam PTK.

“Justeru, peluang kenaikan pangkat yang mengambil kira rekod penilaian perkhidmatan secara berterusan serta pembabitan dalam kursus peningkatan ilmu dan kecekapan, amat penting serta lebih ketara,” katanya.

Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Wilayah Persekutuan, Jaapar Mansor berkata, penilaian yang mengutamakan prestasi kerja penjawat awam, lebih-lebih lagi untuk tujuan kenaikan pangkat, adalah lebih adil.

CUEPACS HARAP PELARASAN GAJI DISEGERAKAN

Utusan Malaysia
9/5/2011

KOTA BHARU 8 Mei – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat mempercepatkan pelarasan gaji 1.4 juta kakitangan awam di negara ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, permohonan untuk pelarasan gaji itu telah dibuat dua tahun lalu bagi mengurangkan beban ahlinya ekoran kenaikan harga barang.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak bermaksud mendesak kerajaan untuk berbuat demikian kerana memahami kedudukan kewangan negara dan sedar ia akan turut memberikan kesan kepada pekerja swasta.

“Kita sedar kenaikan harga barang adalah di luar kawalan dan kalau gaji kakitangan awam naik, kita bimbang ada golongan akan turut menaikkan harga barang dan bagaimana pula dengan bukan kakitangan awam,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Seminar Peranan Penjawat Awam Dalam Transformasi Nasional dan Bengkel Sistem Alternatif PTK oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr. Awang Adek Hussin di sini hari ini.

Omar diminta mengulas mengenai khabar angin bahawa kakitangan awam akan menerima pelarasan gaji dalam masa terdekat.

Beliau berkata, langkah itu juga untuk mengurangkan jumlah kakitangan awam yang bekerja sambilan kerana rekod menunjukkan kira-kira 20 peratus daripada 730,000 kakitangan awam kelas sederhana melakukan kerja sambilan.

Katanya, CUEPACS tidak mahu kakitangan awam mengutamakan kerja sambilan sehingga menjejaskan produktiviti tugas hakiki mereka.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam proses terakhir untuk menyiapkan sistem penilaian baru bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).

“Kira-kira 90 peratus sistem penilaian baru itu telah siap dan kita akan berbincang buat kali terakhir dengan JPA Selasa ini bagi melengkapkan sistem penilaian baru itu,” katanya.

Monday, May 9, 2011

360 darjah ganti PTK


Oleh Syuhada Choo Abdullah
bhnews@bharian.com.my
2011/05/09

Prestasi kakitangan awam turut dinilai rakan sejawat

PUTRAJAYA: Mulai 1 Julai depan prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan sebuah panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.
Konsep baru yang nama khususnya sedang dikenal pasti, akan digunakan untuk menilai tahap kecekapan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam bagi menggantikan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan pada 1 Januari lalu, selepas digunakan selama lapan tahun sejak 1 November 2002.

Wednesday, May 4, 2011

PERBINCANGAN ALTERNATIF PTK DI ANTARA JPA DAN CUEPACS


Media Cuepacs
3/2/2011




Putrajaya: Satu perbincangan mengenai Alternatif PTK telah deiadakan diantara JPA dengan Majlis Tertinggi CUEPACS di Pusat Konvensyen Putra Jaya (PICC).pada 2 Mei 2011 jam 8.15 malam. Perbincangan ini di Ketuai Oleh Dato' Dr. Mohd. Azhar Bin Hj. Yahaya, Dato' Basarudin Sadli , Dato' Mat Aron dan Pegawai Tertinggi JPA, Wakil KKM, KSM dan lain- lain.

Bagi CUEPACS di ketuai oleh Dato' Haji Omar Osman Presiden, Sdra Azih Muda Tim. Presiden I, Sdri Lok Yim Peng Setiausaha Agung, Sdra Adnan Mat Tim. Setiausaha Agung I, Sdra Abdul Rahman Mohd Nordin Tim. Setiausaha Agung III, Sdra Ja'apar Mansor Setiausaha Kewangan, Sdra Mohd Razali Singah Tim. Setiausaha Kewangan dan Ahli Majlis Tertinggi CUEPACS.

Pembentangan dimulakan oleh Timbalan Presiden Cuepacs. dan kemudian pihak JPA. perbincangan masih lagi belu ada kata putus kerana CUEPACS dan JPA akan mencari keputusan yang terbaik.





GAJI PENJAWAT AWAM DI MALAYSIA MEMUASKAN?


KAJIAN Bank Dunia menunjukkan rekod pertumbuhan gaji tahunan di Malaysia sejak 10 tahun lalu hanyalah 2.6 peratus berbanding peningkatan berlipat ganda inflasi dan kos sara hidup semasa dalam tempoh yang sama.

Hal ini secara tidak langsung mengakibatkan kuasa beli berkurang bagi pendapatan setiap isi rumah.


Namun, gaji yang diterima oleh penjawat awam di Malaysia pada masa kini dilihat masih berada di tahap memuaskan dengan pendapatan per kapita sebanyak RM25,000 hingga RM30,000 setahun berbanding negara maju RM40,000 setahun.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Omar Osman berkata, walaupun begitu kerajaan harus melakukan sesuatu dari sekarang agar pendapatan perkapita rakyat Malaysia setanding negara maju lain menjelang tahun 2020.

“Bagi Gred 41 ke atas, saya boleh kata gaji mereka memuaskan tapi bagi penjawat awam gred tertentu yang gajinya Rm3,000 ke bawah, mungkin akan jadi beban jika penyelarasan gaji tak dibuat dalam tempoh beberapa tahun akan datang.


“Dua tahun kebelakangan ini kita lihat banyak harga barang yang naik. Penjawat awam yang bergaji rendah memerlukan sekurang-kurangnya tambahan RM500 untuk tanggung kos kenaikan ini,” katanya kepada Mingguan mStar.

Omar yang ditemuramah sempena Hari Pekerja 2011 berkata penyelarasan gaji penjawat awam perlu, seiring Pelan Transformasi Kerajaan (GTP) yang menuntut penjawat awam melakukan perubahan positif dari segi cara kerja dan pemikiran.


Menjelang 2020, penjawat awam yang mantap dari peringkat atasan, pertengahan dan bawahan diperlukan untuk mengemudi sistem pentadbiran kerajaan yang tentunya lebih maju dan mencabar berbanding sekarang,


Menurut Omar, kali terakhir gaji penyelarasan gaji kakitangan awam dibuat pada 1 Julai 2007 dengan kenaikan sebanyak 35 peratus untuk penjawat awam Gred 1 hingga 16, 25 peratus untuk Gred 27 hingga 40, 15 peratus untuk Gred 41 hingga 54 dan 7.5 peratus bagi gred seterusnya.

“Pada Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-12 (MAPPA XII) Mac lalu, kita ada bincangkan tentang isu ini dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. Kita minta kerajaan buat semakan gaji setiap lima tahun sekali dan berharap akan ada perubahan gaji dalam masa terdekat,” katanya.

Bagi merealisasikan kehendak kerajaan Omar mengakui penjawat awam perlu dipersiapkan dengan pemikiran bijaksana, kreativiti dan lebih inovatif dari sekarang.

Dalam pada itu, beliau kurang bersetuju dengan pendapat sesetengah pihak yang menyatakan penjawat awam seolah-olah tidak bersyukur walaupun menikmati pelbagai kemudahan yang diberikan kerajaan.

“Kita menghargai apa yang kerajaan beri. Apa yang kita minta adalah patut dan sesuai dengan peredaran semasa.

“Walaupun sudah dua tahun tak dapat bonus, semua penjawat awam masih setia berkhidmat dengan kerajaan dan produktiviti juga meningkat,” beliau memberi contoh.

Sunday, May 1, 2011

Akta Majlis Konsultasi Gaji Minimum Negara dibentang pada sesi Parlimen



2011/05/01

IPOH: Kementerian Sumber Manusia akan membentangkan Akta Majlis Konsultasi Gaji Minimum Negara pada sesi Parlimen akan datang, kata menteri berkenaan, Datuk Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata, apabila dipersetujui dan diluluskan, Majlis itu boleh membuat penyelarasan berhubung gaji minimum untuk sektor swasta mengikut peruntukan undang-undang.
"Melalui Majlis itu, kita akan membuat pengumuman tertentu yang perlu supaya gaji minimum sektor swasta adalah selaras dengan kos kehidupan semasa.
"Majlis ini juga mempunyai kuasa untuk memastikan apa yang ditetapkan dipatuhi oleh sektor swasta," katanya kepada pemberita selepas sambutan Hari Pekerja Cuepacs peringkat kebangsaan di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan gaji minimum sektor swasta.

Sebelum ini, kajian Kementerian Sumber Manusia pada 2009 yang merangkumi 1.3 juta pekerja di negara ini menunjukkan bahawa 33.8 peratus daripadanya menerima gaji kurang daripada RM700 sebulan, iaitu di bawah kadar kemiskinan RM720 sebulan.

Kadar gaji bagi pelbagai sektor pembuatan misalnya elektrik dan elektronik adalah RM500 hingga RM550; tekstil RM500 hingga RM600; perabot antara RM550 dan RM700; plastik RM550 hingga RM650 serta sarung tangan getah antara RM500 dan RM650.
Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata, dalam usaha untuk meningkatkan produktiviti perkhidmatan awam, tumpuan kepada penyelarasan dan penstrukturan semula sistem penyampaian sedia ada perlu dilakukan.

Katanya, kerajaan menyedari ada beberapa aspek perlu diberi perhatian dan diperhalusi dalam sistem penyampaiannya untuk mengurangkan kerenah birokrasi.

"Kita berharap pegawai dan petugas dalam perkhidmatan awam menerima perkembangan baru dalam suasana yang baik dan melalui pendekatan itu mereka boleh meningkatkan tahap praduktiviti mereka," katanya.

Pada sambutan itu, Pusat Perubatan Universiti Malaysia memenangi anugerah Majikan Prihatian Cuepacs dan Cuepacs Bahagian Wilayah Persekutuan memenangi anugerah Cuepacs Bahagian Contoh dengan kedua-dua menerima sijil penghargaan, wang tunai dan trofi. - BERNAMA

Monday, April 25, 2011

Kes Sarbaini: Polis sudah serah A-G laporan siasatan

April 25, 2011

KUALA LUMPUR, 25 April — Polis sudah menyerahkan laporan siasatan berhubung kematian penolong pengarah Kastam Diraja Malaysia, Ahmad Sarbaini Mohamed di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini kepada Pejabat Peguam Negara, Jumaat lalu.

Laporan Bernama Online memetik Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah mengesahkan perkara itu.

“Kami sudah berpuas hati dengan hasil siasatan yang dibuat dan sudah melengkapkannya, kami sudah hantar kepada Pejabat Peguam Negara,” katanya.

Khamis lalu, Zulkifli berkata meninggal dunia kerana kecederaan pada bahagian kepala selepas jatuh daripada bahagian tinggi bangunan SPRM di Jalan Cochrane, 6 April lalu.

Justeru kata beliau terserah kepada Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan.

“(Dengan ini) saya minta semua spekulasi dihentikan kerana siasatan sudah dilengkapkan.

“Kertas siasatan akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negeri minggu ini atau paling lewat minggu depan,” katanya.

Kata beliau, siasatan menunjukkan ia adalah kematian mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat buat masa sekarang.

Zulkifli juga berkata punca kematian ditentukan selepas siasatan terperinci membabitkan pelbagai pihak termasuk polis, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia dan Jabatan Kimia.

Ahmad Sarbaini (gambar), 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM setelah dilapor ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

Laporan Kematian Ahmad Sarbani Diserah Kepada Peguam Negara

KUALA LUMPUR, 25 April (Bernama) -- Polis sudah menyerahkan laporan siasatan berhubung kematian pegawai Kastam Ahmad Sarbani Mohamed di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane di sini kepada pejabat Peguam Negara, Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Zulkifli Abdullah ketika dihubungi Bernama mengesahkan perkara itu.

"Kami sudah berpuashati dengan hasil siasatan yang dibuat dan sudah melengkapkannya, kami sudah hantar kepada Pejabat Peguam Negara," katanya.

Menurutnya walaupun laporan itu ditumpukan kepada siasatan berhubung laporan kematian mengejut, namun polis akan meneruskan lagi siasatan jika diminta.

Ahmad Sarbani, 56, yang bertugas di pejabat Kastam Pelabuhan Klang ditemui mati di gelanggang badminton di tingkat satu bangunan SPRM itu pada 6 April lepas setelah dilapor ke pejabat itu untuk bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah yang membabitkan 62 pegawai Kastam.

-- BERNAMA

Sunday, April 24, 2011

POLIS , SPRM USAH LEKA DENGAN KE KEMATIAN MENGGEMPARKAN

Utusan Malaysia
23/4/2022
Oleh Azman Anuar



DAHULU jenuh pihak Polis Diraja Malaysia bersilat untuk menepis ‘tikaman dan tembakan sembarangan’ dari segenap sudut apabila berlaku kematian mengejut seseorang ketika dalam tahanan polis.

Begitu juga dengan kes seorang anggota polis dituduh menyebabkan kematian remaja, Aminulrasyid Amzah.

Kini, peluru dan senjata tajam sedang ditujukan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Belum pun selesai kes Teoh Beng Hock, berlegar-legar pula spekulasi tentang kematian mengejut Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Ahmad Sarbaini Mohamed.

Sebagai mana kes Beng Hock, nampaknya ahli keluarga Ahmad Sarbaini juga tidak berpuas hati dengan keputusan siasatan polis yang menyatakan Allahyarham mati mengejut dan tiada elemen jenayah terlibat.

Perasaan sedih dan kecewa ahli keluarga Ahmad Sarbaini tidak dapat dipujuk dengan kenyataan yang boleh dipertikaikan hasil siasatan itu.

Mereka berasa tidak masuk akal untuk Ahmad Sarbini yang pandai mengucap kalimah syahadat, ada isteri dan anak sanggup terjun dari aras satu pejabat SPRM Wilayah Persekutuan pada 6 April lalu untuk membunuh diri.

Nampaknya keluarga Allahyarham tidak mahu polis menutup segera kes kematian ini dengan memberi tahu ia kematian mengejut kerana terjatuh. Mereka mahu pihak polis mengorek hingga sekecil lubang cacing untuk mencari punca Ahmad Sarbaini terjatuh dan mati.

Melihat perkembangan kes-kes mati mengejut ini, selepas ini urusan siasatan polis dan SPRM tidak seperti masa-masa lalu.

Trend ini memperlihatkan sekarang segelintir orang awam sudah tidak dapat menerima bulat-bulat keputusan siasatan polis atau SPRM.

Lazimnya, apabila laporan siasatan sudah lengkap ia diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk menentukan tindakan susulan – dakwa atau tutup kes.

Pun begitu jangan anggap semua sudah selesai. Biasanya manusia tidak dapat menutup semua mulut orang daripada membuat spekulasi.

Yang tahu apa penyebab dan punca kematiannya ialah si mati. Sebab itu kalaulah Tuhan bagi anugerah supaya dinding boleh bercakap, mungkin kita tahu apa sebenar yang berlaku. Tak payah sesiapa pun membuat andaian yang entah betul atau salah.

Tapi ada pihak yang cukup pandai dalam bab untuk membuat andaian dan mereka-reka cerita terutama memperlekehkan institusi kerajaan – polis dan SPRM.

Jadi, elok sangat isu kematian Ahmad Sarbaini ini tidak melibatkan orang politik terutama parti pembangkang.

Jika isu kematian penjawat awam ini dipolitikkan, entah bila ia akan selesai. Lihatlah perkembangan kes liwat dan kes kematian Beng Hock yang sehingga kini belum selesai.

Paling utama kematian individu memang perlu disiasat lebih terperinci demi keadilan dan kebenaran. Namun begitu, janganlah isu kematian itu menutup pula isu yang lebih besar iaitu siasatan untuk membasmi kegiatan rasuah di negara ini.

Kes Beng Hock sebenarnya ada kaitan penyalahgunaan kuasa dan rasuah. Begitu juga kes kematian Ahmad Sarbaini yang ada kaitan dengan rasuah di Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Kita minta, pihak berkuasa tidak terlupa tentang perkara yang lebih menggemparkan negara hasil pembongkaran SPRM dan polis itu.

Friday, April 22, 2011

Misteri kematian Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor - Bukan dibunuh

Misteri kematian Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor - Bukan dibunuh

Thursday, April 14, 2011

Kastam yakin dengan integiriti PDRM

2011/04/13

KUALA LUMPUR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (KDRM) yakin dengan profesionalisme dan integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyelesaikan kes kematian Penolong Pengarah Kastam, Ahmad Sarbani Mohamed, pada 6 April lalu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf, berkata beliau yakin dengan kecekapan PDRM dalam menjalankan siasatan yang menyeluruh dan adil.
Ahmad Sarbani ditemui mati di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini setelah dilaporkan bertemu pegawai penyiasat SPRM berhubung siasatan kes rasuah membabitkan 63 pegawai kastam.
Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Kastam Kebangsaan anjuran Persekutuan Pengeluar Malaysia di sini, beliau berkata keluarga Allahyarham juga turut meluahkan keyakinan mereka terhadap kemampuan polis dalam menyelesaikan kes tersebut.

Justeru, beliau berharap agar orang ramai tidak memandang negatif terhadap cara kematian Allahyarham dan meminta mereka supaya menghormati orang yang telah meninggal dunia.

Sementara itu, Persatuan Pengguna Islam Malaysia menyatakan sokongan terhadap SPRM yang bertindak tegas dalam membanteras gejala rasuah di negara ini tanpa mengira darjat atau pangkat.

Penasihat PPIM, Tunku Azwil Tunku Abdul Razak, berkata pihaknya juga menyambut baik langkah pragmatik yang diambil oleh kerajaan dalam memperkasa SPRM dengan melatih dan menambah pegawai sedia ada supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang lebih profesional. - BERNAMA

Polis arah pelakon buat 4 terjunan


2011/04/14

  PELAKON lagak ngeri  cuba terjun dari bangunan SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, semalam.
PELAKON lagak ngeri cuba terjun dari bangunan SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane, semalam.
KUALA LUMPUR: Pasukan penyiasat kes kematian Penolong Pengarah Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Selangor, Ahmad Sarbani Mohamed, semalam kembali ke lokasi kejadian di bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Wilayah Persekutuan, Jalan Cochrane di sini.

Dalam siasatan semalam, penyiasat yang diketuai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah menggunakan khidmat pelakon lagak ngeri bagi melakonkan semula situasi sebenar pada hari kejadian.
Sepanjang siasatan bermula jam 9 pagi hingga 2 petang itu, pelakon lagak ngeri diminta melakonkan semula cara bagaimana mangsa terjatuh dari tingkat tiga sebelum mayatnya ditemui di gelanggang badminton di tingkat satu, pada 6 April lalu.
Malah, pelakon itu dipilih berdasarkan berat badan sama dengan mangsa serta dipakaikan seluar dan baju kemeja yang sama seperti dipakai mangsa pada hari kejadian.

Chin Wah berkata, pelakon diminta melakukan empat terjunan pelbagai posisi dengan dirakam empat kamera dari pelbagai sudut bagi mengenal pasti bagaimana mangsa terjatuh dari tingkat tiga.

“Selain cuba mendapatkan gambaran sebenar bagaimana mangsa terjatuh, kita menyiasat kecederaan dialami jika terjatuh dari tingkat tiga dengan disaksikan pakar terbabit bedah siasat mangsa,” katanya

Anggaran kerugian Kastam hanya RM2.2 bilion


2011/04/13

PETALING JAYA: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) hari ini menjelaskan bahawa pihaknya hanya mengalami anggaran kerugian RM2.2 bilion daripada RM10 bilion duti import yang sepatutnya dikutip setiap tahun.
Ketua Pengarah KDRM, Datuk Seri Mohamed Khalid Yusuf, berkata ini bertentangan dengan laporan akhbar tertentu yang mengaitkan RM108 bilion dengan siasatan terhadap KDRM.
Beliau berkata perkara sebenar ialah jumlah RM108 bilion itu adalah anggaran kerugian setiap tahun kepada kerajaan akibat penipuan, pengisytiharan cukai, penyelewengan serta salah laku pelbagai agensi penguat kuasa kerajaan.
"Kami (kastam) hanya dapat mengutip sejumlah RM7.8 bilion tahun lepas yang mana kami kerugian lebih kurang RM2.2 bilion lagi. Jadi tidak tepatlah bahawa kerugian RM108 bilion itu hanya daripada kastam, tapi ia juga libatkan pelbagai agensi penguatkuasa kerajaan yang lain," katanya selepas menghadiri seminar kerjasama kastam-sektor swasta di sini hari. Beliau berkata kehilangan RM2.2 bilion atau 23 peratus duti kastam itu bagaimanapun masih dianggap rendah dan pada tahap normal serta biasa dialami oleh negara maju lain, yang menetapkan 25 peratus untuk kerugian maksimum. Mohamed Khalid berkata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Abu Kassim Mohamed dijangka mengumumkan minggu depan mengenai laporan media yang salah melaporkan bahawa wang berselerak di rumah pegawai kanan KDRM yang ditahan pada 28 Mac lepas, sebaliknya wang itu ditemui di beberapa lokasi berlainan.
"Kami (kastam) perlu membersihkan nama baik penguatkuasa ini kerana jelas laporan (wang berselerak) itu memburukkan nama kami," katanya.
Khalid dalam pada itu memaklumkan bahawa 20 pegawai kastam turut terlibat dalam Operasi 3B (3 bilion) yang bertujuan memastikan kutipan kerajaan melalui aktiviti pengimportan dapat memberikan hasil sejumlah tiga bilion.
"Ada enam agensi turut terlibat dalam operasi ini, iaitu Peguam Negara, Ketua Setiausaha Negara, Kastam, Ketua Polis Negara, Ketua Pegawai Eksekutif Cukai Pendapatan dan SPRM sendiri.
"Dengan penglibatan semua agensi ini, ia membuktikan bahawa kita tidak ''compromise'' dan telus dengan mana-mana pihak dan tahan atau siasat siapa sahaja yang terlibat dalam sebarang penyelewengan," katanya.
Beliau berkata 20 pegawai kastam yang terlibat dalam operasi itu mempunyai kepakaran dalam bidang import-eksport, program komputer dan forensik.
Dalam operasi 3B baru-baru ini, seramai 62 pegawai kastam ditahan SPRM dan pada 6 April, Penolong Pengarah Kastam Selangor Ahmad Sarbani Mohamed, 56, yang turut ditahan bagi membantu siasatan kes itu, ditemui mati di Tingkat Satu, pejabat SPRM Wilayah Persekutuan di Jalan Cochrane di sini. - BERNAMA

Wednesday, April 13, 2011






Operasi 3B bongkar kes rasuah


Oleh Magendran Rajagopal
magendran@bharian.com.my
2011/04/13

ABU KASSIM (tiga dari kanan) bersama Omar (dua dari kanan) serta Ibrahim (dua dari kiri) pada perjumpaan di Putrajaya, semalam.
ABU KASSIM (tiga dari kanan) bersama Omar (dua dari kanan) serta Ibrahim (dua dari kiri) pada perjumpaan di Putrajaya, semalam.

SPRM bantu KDRM tingkat integriti kakitangan

PUTRAJAYA: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar kes salah laku, penyelewengan dan rasuah pegawai Kastam Diraja Malaysia (KDRM) menerusi Operasi 3B mendapati KDRM juga tertipu dalam kes terbabit berikutan hanya segelintir kakitangannya terbabit dalam gejala itu.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abu Kassim Mohamed, berkata faktor itu antara sebab pihaknya menubuhkan pasukan bertindak dengan agensi lain seperti Bank Negara Malaysia (BNM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) selain KDRM sendiri bagi operasi terbabit.
“Menyusuli operasi ini, kita akan adakan siri perbincangan meja bulat dengan KDRM bagi mencari jalan membantu mereka kemas kini kutipan cukai dan meningkatkan integriti kakitangannya kerana kita dapati jumlah yang berintegriti jauh lebih tinggi dan mereka ini dapat membersihkan KDRM,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Terdahulu, beliau mengadakan perjumpaan dengan Presiden Gabungan Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman; Timbalan Presiden Persatuan Pegawai Kanan Kastam Malaysia, Iskandar Jaafar dan Presiden Kesatuan Pegawai Kastam Semenanjung Malaysia, Ibrahim Ahmad.

Abu Kassim berkata, Operasi 3B mengambil sempena RM3 bilion yang disasar dapat dikutip daripada operasi terbabit, yang hilang akibat penipuan pengisytiharan cukai, penyelewengan serta salah laku pelbagai pihak dan menegaskan KDRM hanya satu daripadanya.

Beliau berkata, orang ramai keliru dengan jumlah RM108 bilion yang dikaitkan akhbar tertentu dengan siasatan terhadap KDRM dan menjelaskan ia sebenarnya anggaran kerugian setiap tahun kepada kerajaan akibat penipuan, pengisytiharan cukai, penyelewengan serta salah laku pelbagai agensi penguat kuasa kerajaan.
Katanya, laporan media mengatakan wang berselerak di rumah pegawai kanan KDRM yang ditahan pada 28 Mac lalu juga tidak tepat kerana ia sebenarnya bermaksud menunjukkan wang ditemui di beberapa lokasi berlainan.

Sementara itu, Iskandar berkata, usaha perlu dipergiat bagi memartabatkan integriti, bukan saja di KDRM, sebaliknya seluruh perkhidmatan awam dan diharap kita dapat bersama menangani isu yang menjadi buah mulut masyarakat.

Omar pula berkata, CUEPACS meminta Abu Kassim meneruskan khidmatnya bagi mencapai matlamat semua agensi di negara ini cemerlang dan tinggi integritinya.

Ibrahim pula menyifatkan pertemuan dengan SPRM itu memberi peluang kakitangan KDRM membersihkan nama dan mahu agensi pencegahan rasuah dilihat sebagai rakan baik KDRM dan bukannya ditakuti

Tuesday, April 12, 2011