Wednesday, February 24, 2010
Tuesday, February 23, 2010
BIMBANG PENGUASAAN WANITA
22/2/2010
KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini meluahkan kebimbangan berikutan penguasaan penjawat wanita dalam perkhidmatan awam yang semakin meningkat sekarang.
Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd. Zin berkata, trend masa ini menunjukkan semakin ramai wanita dilantik memegang jawatan sebagai pembuat keputusan dan situasi itu mempunyai implikasi jangka panjang dalam aspek kemajuan dan pertumbuhan negara.
Contohnya kata beliau, hampir tiga perempat daripada jawatan baru dalam perkhidmatan pegawai tadbir dan diplomatik diisi oleh wanita.
Ahmad Shah menghujahkan perkara itu bertentangan dengan polisi kerajaan sekarang yang memperuntukkan hanya 30 peratus jawatan pembuat keputusan kepada kaum wanita.
Baru-baru ini, Menteri Sumber Manusia Datuk, Dr. S. Subramaniam berkata, nisbah antara guru lelaki dan wanita adalah 30:70.
Sambil menghargai polisi kerajaan berkenaan kesamaan gender, Ahmad Shah berkata, Cuepacs mahu dasar itu dilaksana dengan berhati-hati agar tidak mengganggu keseimbangan antara penjawat lelaki dan wanita.
Beliau berkata, kedua-dua gender mempunyai kekuatan dan kelemahan yang boleh diguna untuk melengkapi antara satu sama lain.
Sementara itu, Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Lok Yim Pheng berkata, walaupun terdapat lebih ramai guru wanita dalam perkhidmatan tersebut, peringkat pembuat keputusan dikuasai kaum lelaki.
Beliau berkata, prestasi guru wanita adalah sangat baik dan mereka memberikan pendidikan yang berkualiti kepada kanak-kanak.
Yim Pheng menyarankan agar kementerian berkenaan mengambil lebih ramai guru lelaki untuk bidang-bidang tertentu seperti sukan, pendidikan jasmani dan kokurikulum.
Nisbah yang ideal antara guru lelaki dan wanita kata Lok adalah 50:50. - Bernama
Wednesday, February 17, 2010
LEBIH 40 JABATAN TAK BAYAR ELAUN KERJA LEBIH MASA
15/2/2010
KUALA LUMPUR: Kira-kira 50,000 kakitangan sektor awam kumpulan sokongan tidak akan melakukan kerja lebih masa bermula minggu depan kerana mendakwa elaun kerja lebih masa mereka kini digantikan dengan cuti rehat. Sambil menyifatkan ia bukan ugutan, Presiden Cuepacs, Omar Osman, berkata kesatuan juga tidak membuat dakwaan 'kosong' sebaliknya menerima banyak aduan sejak tiga bulan lalu. Omar berkata, walaupun cuti rehat itu salah satu usaha jabatan untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan, langkah berkenaan boleh memberi kesan negatif bukan saja kepada kakitangan awam terbabit, malah boleh menjejaskan sistem penyampaian kerajaan.
Beliau mendakwa aduan diterimanya daripada ahli kesatuan mendapati lebih 40 jabatan sudah tidak membayar elaun lebih masa sejak tiga bulan lalu, sebaliknya menggalakkan mereka menggantikannya dengan cuti rehat. "Bukan itu saja, Cuepacs juga menerima aduan daripada ahli bahawa pekerja yang enggan melakukan kerja lebih masa diugut ketua jabatan masing-masing akan dikenakan tindakan tatatertib kerana ingkar arahan. "Kita melihat tindakan ini amat keterlaluan. Anggota sektor awam sentiasa berdedikasi untuk berkhidmat tetapi pada masa sama, pendapatan (bayaran lebih masa) mereka tidak seharusnya disekat kerana mereka bukannya berpendapatan tinggi.
"Kongres Cuepacs akan diadakan 25 Februari ini bagi membincangkan isu pembayaran kerja lebih masa," katanya ketika dihubungi, semalam. Minggu lalu, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam berkata kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi menghalang pembayaran elaun lebih masa kepada jabatan kerajaan.
Thursday, February 11, 2010
CUEPACS TUNTUT KERJA LEBIH MASA DIBAYAR TUNAI
11/2/2010
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menuntut kakitangan awam diberi bayaran tunai untuk kerja lebih masa berbanding diberi cuti rehat. Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata hampir 50,000 kakitangan sokongan dari pelbagai jabatan kerajaan dan badan berkanun diberi cuti rehat untuk kerja lebih masa sejak Disember tahun lalu. Katanya, untuk setiap lapan jam kerja lebih masa mereka akan diberi satu hari cuti.
"Kami menganggap ia satu ekspoitasi, dan mahu kerajaan membuat tindakan segera untuk menghentikan amalan ini kerana ia akan melunturkan semangat pekerja dan menjejaskan produktiviti mereka," katanya kepada Bernama. Beliau berkata, Cuepacs akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, untuk menyelesaikan isu itu. Bernama difahamkan langkah sedemikian dilaksanakan untuk "mengurangkan kos" dan juga untuk "meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan" jabatan berkenaan.
Seorang ketua jabatan berkata, sasaran kerja kini adalah lebih tinggi dan memerlukan kerjasama kakitangan untuk bekerja lebih masa. Katanya, disebabkan peruntukan untuk kerja lebih masa tidak mencukupi, jabatan memperkenalkan sistem menawarkan cuti. "Kecuali untuk beberapa orang pekerja, kebanyakan daripada mereka bersetuju dengan peraturan itu kerana mahu mencapai sasaran kerja yang ditetapkan dan meningkatkan sistem penyampaian sejajar dengan dasar kerajaan sekarang," katanya. - Bernama
TIADA ARAHAN KERJA LEBIH MASA DIGANTI CUTI REHAT
Berita Harian
Oleh Syuhada Choo Abdullah
choo@bharian.com.my
11/2/2010
KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak mengeluarkan sebarang arahan rasmi untuk menghalang pemberian bayaran tunai kepada kakitangan awam yang bekerja lebih masa dan digantikannya dengan cuti rehat. Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam (gambar), berkata kakitangan sokongan memang layak mendapat elaun kerja lebih masa, justeru terpulang kepada kecekapan sesebuah jabatan untuk menguruskan keperluan kewangan. “Setiap jabatan kerajaan mendapat peruntukan masing-masing, maka kena pandai urus sendiri supaya ia memenuhi keperluan tanpa melebihi bajet,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Sehubungan itu, Ismail berkata, dakwaan bahawa kakitangan sokongan diberi cuti rehat bagi menggantikan bayaran tunai untuk kerja lebih masa, mungkin adalah langkah yang diambil oleh sesebuah jabatan atas inisiatif sendiri. Berhubung hasrat Cuepacs untuk mengadakan pertemuan dengannya untuk menyelesaikan isu berkenaan, beliau berkata, mereka perlu memberi maklumat terperinci, bukan kenyataan secara rambang, kerana jika membabitkan badan berkanun, ia tidak berkaitan dengan beliau. Sementara itu, Cuepacs dilaporkan menuntut agar kakitangan awam diberi bayaran tunai untuk kerja lebih masa berbanding diberi cuti rehat.
Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata hampir 50,000 kakitangan sokongan dari pelbagai jabatan kerajaan dan badan berkanun diberi cuti rehat untuk kerja lebih masa sejak Disember lalu. “Bagi setiap lapan jam kerja lebih masa mereka akan diberi satu hari cuti. Kami menganggap ia satu eksploitasi, dan mahu kerajaan membuat tindakan segera untuk menghentikan amalan ini kerana ia akan melunturkan semangat pekerja serta menjejaskan produktiviti,” katanya. Langkah sedemikian dilaksanakan untuk ‘mengurangkan kos’ dan juga untuk ‘meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan’ jabatan berkenaan. “Sasaran kerja kini adalah lebih tinggi dan kami memerlukan kerjasama dari kakitangan kita untuk bekerja lebih masa. Bagaimanapun, peruntukan untuk kerja lebih masa adalah tidak mencukupi, jadi kami memperkenalkan sistem ini dengan menawarkan cuti,” kata seorang ketua jabatan.
Kecuali untuk beberapa pekerja, katanya, kebanyakan daripada mereka bersetuju dengan peraturan itu kerana mahu mencapai sasaran kerja yang ditetapkan dan meningkatkan sistem penyampaian sejajar dengan dasar kerajaan sekarang.
Tuesday, February 2, 2010
PENGUATKUASAAN PERATURAN BERKAITAN PEMATUHAN WAKTU BEKERJA PEGAWAI AWAM
1/2/2010
Untuk makluman Tuan/Puan Jabatan ini sering menerima aduan orang ramai berkenaan sikap egelintir pegawa awam yang tidak mematuhi waktu bekerja dan berada di tempat-tempat akan seperti kantin atau kafeteria mahu pun di tempat-tempat awam lain seperti pusat membeli-belah masa wktu bekerja.Ketidakpatuhan waktu bekerja ini adalah bertentang dengan perintah Am 5 Perintah-Perintah Am Bab G Waktu Bekerja dan Lebih Masa 1974 dan Peraturan 24, Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib)1993 serta Tatakelakuan Pegawai Awam di bawah Peraturan 4 , peraturan-peraturan yang sama.
Untuk Keterangan lanjut (sila klik disini)
CUEPACS TUNTUT SEMAK SEMULA GAJI. NAIKKAN PENCEN PESARA
2/2/2010
KUALA LUMPUR: Cuepacs akan mengemukakan dua tuntutan daripada kerajaan pada tahun ini, iaitu menyemak kembali gaji kakitangan awam yang sudah mencecah gred maksimum dan menaikkan pencen kira-kira 450,000 pesara kerajaan yang berkhidmat kurang 25 tahun. Presidennya, Omar Osman, berkata hampir separuh daripada kira-kira 1.2 juta kakitangan awam, membabitkan pegawai kumpulan profesional, pengurusan dan kakitangan sokongan di negara ini sudah mencecah gred maksimum. “Kira-kira 450,000 pesara kerajaan yang berkhidmat kurang 25 tahun juga menerima pencen serendah RM300 sebulan. Ini tidak mencukupi jika mengambil kira kos sara hidup semasa, terutama di bandar. Kadar pencen mereka perlu dinaikkan sekurang-kurangnya kepada RM500.
“Walaupun krisis ekonomi negara belum pulih sepenuhnya, permohonan ini wajar untuk menambah kuasa membeli, selain meningkatkan kebajikan kakitangan awam,” katanya ketika dihubungi, semalam. Beliau berkata, kadar yang dituntut itu munasabah kerana jumlah minimum pencen pesara yang berkhidmat lebih 25 tahun ketika ini ialah RM720. Sementara itu, Omar berkata, hampir semua 1.2 juta kakitangan kerajaan memilih menyertai skim pencen berbanding skim caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Katanya, ramai kakitangan kerajaan tidak memilih skim KWSP kerana tidak menikmati kemudahan seperti kad persaraan, perubatan percuma di hospital kerajaan dan faedah persaraan (gratuiti) seperti kakitangan awam yang memilih skim pencen. “Jika sebelum ini, ada seramai 70,000 kakitangan kerajaan memilih skim KWSP, tetapi menyedari kebaikan dan kelebihan yang dinikmati menerusi skim pencen, ramai yang sudah menukarnya kepada pencen,” katanya. Bercakap kepada Bernama, Omar berkata, Cuepacs akan menemui Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam, bulan ini untuk meminta dipertimbangkan pelaksanaan peraturan baru persaraan pilihan penjawat awam. Beliau berkata, Cuepacs terkejut apabila ditanya anggotanya mengenai perkara itu kerana JPA tidak pernah mengajak pihak itu berbincang mengenainya.
“Sukar bagi kami untuk menjelaskan perkara ini kerana kami (Cuepacs) tidak tahu mengenainya... ada yang menyangka kami yang membawa (cadangan perkara itu) kepada kerajaan," katanya. Beliau mengulas pekeliling JPA pada 25 Januari lalu mengenai persaraan pilihan anggota yang akan diluluskan dengan syarat jika mereka bersetuju dibayar 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 terlebih dulu, mengikut mana yang lebih ketika bersara pilihan mulai Februari 2010 atau selepasnya.
CUEPACS MAHU JUMPA JPA BINCANG ISU PERSARAAN PILIHAN
Bernama
2/2/2010
KUALA LUMPUR: Cuepacs akan menemui Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam bulan ini untuk meminta dipertimbangkan pelaksanaan peraturan persaraan pilihan penjawat awam. Presidennya, Omar Osman, berkata perbincangan itu bertujuan mendapatkan penjelasan lanjut JPA berhubung perkara itu setelah banyak pertanyaan dibangkitkan mengenai peraturan baru itu yang melibatkan 1.2 juta penjawat awam. Beliau berkata Cuepacs juga terkejut apabila ditanya anggotanya mengenai perkara itu kerana JPA tidak pernah mengajaknya berbincang mengenainya.
"Sukar bagi kami untuk menjelaskan perkara ini kerana kami (Cuepacs) tidak tahu tentangnya ... ada yang menyangka kami yang membawa (cadangan perkara itu) kepada kerajaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini. Beliau mengulas pekeliling JPA pada 25 Jan lepas mengenai persaraan pilihan anggota yang akan diluluskan dengan syarat jika mereka bersetuju dibayar 20 peratus daripada ganjaran atau RM10,000 terlebih dahulu, mengikut mana yang lebih ketika bersara pilihan mulai Februari 2010 atau selepasnya. Omar berkata bayaran 20 peratus atau RM10,000 daripada ganjaran benar-benar tidak mencukupi untuk penjawat awam bersara pilihan untuk meneruskan kehidupan sementara menunggu pencen mereka.
"Dulu kita tidak ada masalah kerana ganjaran diberi cukup dan dapat menampung sehingga boleh terima pencen...tapi sekarang, tak ada maknanya bersara pilihan sekarang kalau dapat RM10,000 sahaja," katanya. Katanya, beliau tidak mahu, akibat daripada peraturan itu, penjawat awam terutamanya dari kumpulan sederhana dan bawahan membuat pinjaman daripada Ah Long untuk menampung kehidupan. Beliau berkata kerajaan harus memahami masalah penjawat awam kerana kebanyakan mereka yang memohon berhenti awal bukanlah kerana kepentingan peribadi tetapi akibat beberapa kesulitan kehidupan. "Jika kerajaan beri 50 peratus daripada ganjaran, eloklah sikit, contohnya kalau ganjaran sebenar RM80,000 maka dapatlah dia RM40,000. Beri RM10,000 nak buat apa, satu jam sahaja boleh habis. Oleh itu, kita minta kerajaan kaji semula semula perkara ini," katanya. - Bernama
COPS FROM SERGEANTS AND ABOVE TO BENEFIT FROM PAY SCHEME
The Star
By SARBAN SINGH
newsdesk@thestar.com.my
1/2/2010
SEREMBAN: Policemen from the rank of sergeants and above will get a rise in salary and allowances under a new pay scheme.
The new pay and incentives come three years after they were recommended by the Royal Commission to improve the police force.
The biggest gainers will be new inspectors who will get a starting salary of RM2,060 compared to RM1,492 previously. Diploma and STPM holders will also be allowed to join the force directly as sergeants and they will start with a basic salary of RM1,500. A sergeant’s basic salary previously was RM890.
The new scheme has been approved by the Public Service Department following recommendations made by the Royal Commission on the Enhancement of the Management and Operations of the Police.
Sources said new inspectors would have a take home pay of more than RM3,000 which included a special incentive of RM200, cost of living allowance of RM100 to RM200, and a housing allowance of RM420.
They said police inspectors had now been moved to the Professional and Management Group as they were now required to be degree holders.
Policemen will also have another reason to cheer as they will be paid arrears backdated to Jan 1, 2009. Other senior officers will also enjoy increases of between 4% and 8% of their current basic salary and civil service allowance.
“Senior police officers will get one jump in their salaries to the new scheme. This will be from RM200 to RM600,” he said.
The civil service allowance of officers with the rank of Assistant Superintendent of Police (ASP) and Superintendents will be increased by RM50.
Sources said the ranks of Senior Assistant Commissioner I and II (SAC I and SAC II) have also been abolished and replaced with just SAC. Also abolished is the post of chief inspector.
This means that an inspector can be promoted to the rank of an ASP after passing the relevant examinations.
Citing an example, he said corporals who passed their Efficiency Level Assessment examinations were being paid higher than sergeants who did not pass theirs.
“We cannot have a situation where a lower ranking officer earns more than his superior. That is one reason why the changes were done to the matrix salary system,” he said.
In 2007, the Government increased the salaries of police and military personnel by 9% to 42%. The current increase of salary and incentives is to further enhance the operations and management of the police force.
In an immediate response, Cuepacs president Omar Osman said the Public Service Department must ensure it did not jeopardise the chances of non-officers to be promoted to officers.
“There are some 200 Customs non-officers who have not been promoted to officer level although they have recognised degrees.
“We hope the department will spell out exactly what are the chances of those in the lower rung to be promoted to the Top Professional and management Group once they get their tertiary education. Then it will be a level playing field,” he said.
31 Januari 2010
1.3 JUTA PENJAWAT AWAM BERSEDIA PIKUL TUGAS:OMAR
Berita Harian
31/1/2010
KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yakin 1.2 juta penjawat awam sudah bersedia menggalas tanggungjawab dan menyahut cabaran ke arah perubahan dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA). Presidennya, Omar Osman, bagaimanapun berkata, kerajaan perlu memberikan penerangan lanjut mengenai GTP dan NKRA terutama kepada 860,000 kakitangan sokongan 1 dan 2 kerana golongan itu adalah pelaksana kepada projek berkenaan. Beliau berkata, anggota perkhidmatan awam adalah tulang belakang dan jentera penting bagi melaksanakan perubahan itu.
“Penerangan dalam perhimpunan bulanan oleh semua ketua jabatan boleh meningkatkan kefahaman dan memastikan semua penjawat awam menyedari tugas dan tanggungjawab masing-masing. “Penjawat awam tidak seharusnya rasa tertekan dengan GTP kerana mereka sewajarnya memiliki minda terbuka, bersedia berdepan dengan cabaran selain berfikir ke arah pembaharuan. Kita tidak boleh toleh ke belakang,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam. Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak merasmikan pelancaran pelan Hala Tuju GTP dengan memberi keutamaan kepada enam bidang utama NKRA iaitu memperbaiki sistem pengangkutan awam, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapai pelajar dan infrastruktur luar bandar, mengurangkan kadar jenayah serta mempertingkatkan taraf hidup isi rumah. Sementara itu Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan menyarankan supaya kerajaan melaksanakan penambahbaikan terhadap guru prasekolah selain melihat insentif yang lebih baik terhadap warga Sekolah Berprestasi Tinggi supaya seiring dengan matlamat. Beliau berkata, tawaran gred dan gaji yang lebih baik wajar diberikan dalam usaha menaik taraf status guru prasekolah, sekali gus memastikan mereka mempunyai kelayakan lebih tinggi berbanding kini hanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). “Memang di atas kertas kita lihat GTP dan NKRA bagi mempertingkatkan pencapaian pelajar adalah baik tetapi NUTP bimbang jika ia tidak dapat dilaksanakan kerana halangan awal tidak diatasi dengan segera,” katanya.
Sunday, January 31, 2010
PENANGGUHAN BAYARAN SEBAHAGIAN GANJARAN JPA
Seperti sedia dimaklum, persaraan pilihan ialah suatu keistimewaan yang
boleh dipertimbangkan bagi anggota sektor awam dengan mangambil kira
kepentingan jabatan, kepentingan perkhidmatan serta keadaan kewangan negara.
Sehubungan dengan ini, dengan mengambil kira keadaan kewangan negara
semasa, Kerajaan telah memutuskan persaraan pilihan anggota Sektor Awam
(iaitu pegawai Perkhidmatan Awam Persekutuan atau Negeri serta pekerja Pihak
Berkuasa Berkanun atau Tempatan) akan diluluskan dengan syarat anggota
bersetuju dibayar 20% daripada ganjaran atau RM10,OOO.OO, mengikut mana
yang lebih, ketika bersara dan selebihnya akan dibayar pada tarikh yang akan
ditetapkan oleh Kerajaan, tidak melampaui tarikh anggota mencapai umur bersara
wajib mengikut syarat pelantikan atau opsyen umur persaraan wajib. Walau
bagaimanapun, wang tunai sebagai Gantian Cuti Rehat (GCR) dan pencen
bulanan akan dibayar sepenuhnya mengikut peruntukan undang-undang pencen.
(Sila catatkan rujukan Jabatan ini apabila berhubung)
"JPA
Untuk keterangan lanjut (Klik Sini)
Monday, January 25, 2010
JPA NAFI COLA DAN ITP DITARIK BALIK
23/1/2010
PUTRAJAYA, 22 Jan (Bernama) -- Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Jumaat menafikan laporan yang mendakwa pembayaran elaun sara hidup (COLA) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) yang dinikmati penjawat awam akan ditarik balik.Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam ketika dihubungi Bernama di sini berkata: "Itu semua khabar angin dan tidak benar".Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan laman blog dan penyebaran SMS yang mendakwa bahawa kerajaan akan menghapuskan pembayaran COLA dan ITP penjawat awam sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara.Semalam, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Omar Osman menafikan khabar angin itu dan berkata jika ia dilaksanakan, sudah pasti ada surat pekeliling dengan ditandatangani secara rasmi oleh pihak berkenaan dan diedarkan untuk pengetahuan kira-kira sejuta penjawat awam.-- BERNAMA
Friday, January 22, 2010
CUEPACS nafi COLA ditarik balik
Presidennya, Omar Osman berkata, sekiranya ia dilaksanakan, sudah pasti ada surat pekeliling dengan ditandatangani secara rasmi oleh pihak berkenaan dan diedarkan untuk pengetahuan kira-kira sejuta kakitangan awam.
''Perkara baru yang bakal dilaksanakan oleh kerajaan perlu mempunyai surat dan tarikh kuat kuasa dan ia tidak akan sah tanpanya,'' ujar beliau ketika dihubungi malam ini.
Omar mengulas berita yang tersebar dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman-laman blog yang mendakwa elaun tersebut akan ditarik balik oleh kerajaan sebagai langkah penjimatan perbelanjaan negara.
"Semalam saya ada bertemu dengan pegawai tertinggi Perbendaharaan dan Pegawai Akauntan Negara mengenai perkara itu dan mereka tidak tahu mengenai pemotongan tersebut," katanya.
Katanya, jika benar elaun itu ditarik balik, ia akan menjadi masalah besar kepada kakitangan awam kerana bonus tahun 2009 juga tidak diberi kepada mereka.
Utusan Malaysia Online: 22 Januari 2010
Sunday, January 17, 2010
KERAJAAN DIGESA UBAH NAMA JAWATAN "PA" KEPADA SETIAUSAHA TADBIR
17/01/2010 7:11pm
PUTRAJAYA 17 Jan — Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan menggunakan istilah ”Setiausaha Tadbir” bagi jawatan pembantu perbadi (PA) yang kini digelar ”Penolong Setiausaha Tadbir” berbanding mengubah nama kepada ”Setiausaha Pejabat”.
Presiden CUEPACS Omar Osman berkata menurut surat Pekeliling Perkhidmatan Awam 2009 No.27, jawatan ”Pembantu Peribadi” telah dikuatkuasakan pada 1 Jan tahun ini tetapi belum dilaksanakan.
“Oleh itu, kami akan mengadakan pameran bergerak dan akan meminta semua ahli-ahli negeri memberi taklimat mengenai perkara tersebut,” katanya pada sidang media selepas memberi taklimat mengenai perkara itu kepada kira-kira 200 petugas awam di sini hari ini. — Bernama
AGENSI PERLU IKUT GARIS PANDUAN JPA
Oleh Sazarina Shahrim sazarina@bharian.com.my
15/1/2010
Ketua jabatan tidak boleh buat syarat tambahan sendiri isu kenaikan pangkat
PUTRAJAYA: Semua ketua jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat negeri perlu mengikut garis panduan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung proses kenaikan pangkat pegawai sokongan yang berkhidmat lebih 15 tahun tanpa mengenakan syarat tambahan. Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Ismail Adam, berkata pihaknya tidak pernah mengeluarkan sebarang syarat tambahan termasuk menghalang kakitangan yang merokok daripada dinaikkan pangkat.
"JPA sudah menetapkan garis panduan dan berharap (ketua jabatan dan agensi kerajaan) ikutlah. Tidak boleh sengaja buat syarat tambahan sendiri," katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. Beliau mengulas pendedahan Presiden Cuepacs, Omar Osman, kelmarin, bahawa ada ketua jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat negeri yang mengenakan syarat pelik apabila tidak membenarkan pegawai merokok naik pangkat mengikut skim Khas Untuk Penyandang yang berkuat kuasa 1 Julai lalu. Antara syarat kenaikan pangkat bagi kumpulan itu yang dikeluarkan JPA ialah perlu berkhidmat lebih 15 tahun dan memperoleh markah 80 peratus ke atas bagi Laporan Penilaian Prestasi Tahunan tiga tahun terkini serta lulus Penilaian Tahap Kecekapan (PTK).
Skim KUP yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam Mei lalu itu, dijangka memberi manfaat kepada 176,066 pegawai kumpulan sokongan dalam perkhidmatan Persekutuan yang berkhidmat lebih 15 tahun dengan membabitkan kos sebanyak RM170.4 juta. Ismail bagaimanapun berkata, sehingga ini JPA tidak menerima laporan atau aduan seperti didakwa Cuepacs itu dan hanya mengetahuinya menerusi laporan media massa. "Saya minta supaya mereka yang ada maklumat itu tampil dan membuat laporan supaya JPA boleh siasat dan kalau benar, tindakan akan diambil," katanya.
Friday, January 15, 2010
PENJAWAT AWAM PERLU PROFESIONAL
14/1/2010
SEMUA penjawat awam atau kakitangan kerajaan harus akur dan patuh kepada saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak supaya berkhidmat secara penuh profesional tanpa didorong kecenderungan politik.
Selanjutnya, Najib dalam ucapannya semasa majlis makan malam Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang turut dihadiri Pengerusi SPA, Tan Sri Jamaluddin Ahmad Damanhuri baru-baru ini menyatakan penjawat awam mesti berpegang teguh dan kukuh kepada prinsip profesional secara total tanpa mengambil kira apa-apa pun pandangan peribadi.
Seseorang yang dilantik menganggotai mana-mana sektor dalam perkhidmatan awam tertakluk kepada dasar, peraturan, pekeliling perkhidmatan, perintah am dan lain-lain peraturan yang telah ditetapkan dan diguna pakai semasa menjalankan tugas. Ia juga meliputi semua tindakan pelantikan, penanggungan kerja, naik pangkat, tatatertib dan pengurusan prestasi penjawat awam.
Kenyataan dan saranan Perdana Menteri itu mengingatkan penjawat awam yang alpa tentang perlunya mereka bersikap profesional dalam menjalankan tugas.
Penjawat awam perlu meletakkan ke tepi perbezaan fahaman politik dan kepentingan peribadi. Pelaksanaan dasar yang dibuat oleh kerajaan hanya akan tercapai kepada matlamat yang ditetapkan sekiranya semua penjawat awam bersikap profesional, bersungguh-sungguh melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan.
Dasar-dasar yang digubal oleh kerajaan di dalam setiap Pelan Rancangan Malaysia hanya berjaya dicapai sekiranya semua pihak mendokong penuh dasar tersebut.
Tindakan segelintir penjawat awam yang ponteng kerja tanpa sebarang alasan bukan sahaja merugikan, malah menjatuhkan imej perkhidmatan awam.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Ahmad Shah Mohd. Zin semasa merasmikan Mesyuarat Agung Kesatuan Pekerja Awam Angkatan Tentera Malaysia di Port Dickson pada April tahun lalu menyatakan sebanyak lima peratus kakitangan awam terlibat dengan gejala ponteng kerja. Walaupun peratusan itu dianggap kecil, namun sekiranya tiada tindakan tegas diambil, dikhuatiri ia akan memberi impak yang besar kepada jabatan tempat mereka bertugas.
Apa pula nanti persepsi orang ramai terhadap jabatan berkenaan. Sesungguhnya seseorang penjawat awam itu membawa bersamanya imej jabatan tempat mereka bekerja.
Penjawat awam yang bertugas sebagai pendidik sama ada di sektor pendidikan dan pengajian tinggi wajar menumpukan secara total kaedah pengajaran dan pembelajaran dengan mengikut silibus yang telah ditetapkan tanpa memasukkan elemen-elemen yang tidak relevan dalam pengajaran mereka.
Ini penting kerana generasi muda hari ini merupakan bakal pemimpin masa hadapan. Tindakan segelintir tenaga pengajar yang mengambil kesempatan menanamkan fahaman politik sempit, 'anti-establishment', memburuk-burukkan pemimpin-pemimpin tertentu dan dasar-dasar kerajaan amat mendukacitakan. Kanak-kanak dan golongan pelajar umpama kain yang putih, sekiranya warna yang diterapkan itu gelap, maka lama kelamaan pemikiran mereka akan dipengaruhi unsur gelap.
Kemajuan yang dikecapi oleh Malaysia hari ini adalah hasil hubungan yang baik dan saling bertaut antara kerajaan dan penjawat awam. Dasar kerajaan mampu dilaksanakan dengan lebih berkesan dan lancar sekiranya semua penjawat awam sentiasa menyokong dan mampu menterjemahkan dasar tersebut dan menentukan setiap agenda kerajaan dilaksanakan dengan sebaik mungkin.
NADZIR AWANG AHMAD
Universiti Teknologi Mara Perlis
CUEPACS LAPOR SYARAT PEGAWAI MEROKOK TAK NAIK PANGKAT
Berita Harian
14/1/2010
KUALA LUMPUR: Cuepacs mendedahkan ada ketua jabatan dan agensi kerajaan pada peringkat negeri mengenakan syarat pelik apabila tidak membenarkan pegawai merokok naik pangkat mengikut skim Khas Untuk Penyandang (KUP), berkuat kuasa 1 Julai lalu. Presidennya, Omar Osman, berkata beliau menerima aduan pegawai yang memenuhi syarat naik pangkat mengikut skim itu seperti ditetapkan Surat Pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), tetapi tidak layak menikmatinya kerana merokok.
“Kita anggap ini syarat gila kuasa. Ketua jabatan dan agensi kerajaan jangan menganiaya kakitangan bawahan dengan mengenakan syarat tidak munasabah,” katanya ketika dihubungi, semalam. Sempena Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam 14 Mei lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan bersetuju memberi kenaikan pangkat KUP bagi pegawai kumpulan sokongan yang sudah berkhidmat melebihi 15 tahun.
Omar berkata, pihaknya kesal dengan tindakan ketua jabatan dan agensi terbabit kerana JPA menerusi surat pekelilingnya sudah menetapkan syarat jelas untuk diikuti dalam menaikkan pangkat kakitangan mereka mengikut skim itu. Katanya, selain perlu berkhidmat lebih 15 tahun dan mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus dalam laporan prestasi bagi tempoh tiga tahun lalu, kakitangan juga perlu lulus tahap tiga Penilaian Tahap Kecekapan (PTK). “Mereka juga tidak disabitkan dengan kesalahan tata tertib iaitu dengan mendapat pelepasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengisytiharkan harta, memberikan bukti mereka tidak pernah dikenakan tindakan disiplin dan dicadangkan ketua jabatan masing-masing. “Jadi, jangan membebankan mereka yang layak dengan pelbagai syarat pelik. Ada di antara kakitangan terbabit sudah berkhidmat dalam gred sama antara 25 hingga 30 tahun tanpa merasai nikmat kenaikan pangkat,” katanya.
Omar berkata, pihaknya sudah menghantar surat rasmi kepada semua Setiausaha Kerajaan Negeri, selain turut memaklumkannya kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan berhubung pelbagai syarat dikenakan terhadap kakitangan itu.
Tuesday, January 5, 2010
SKIM PERKHIDMATAN PEMBANTU SETIAUSAHA PEJABAT
CUEPACS GALAK PETUGAS RENDAH KERJA SAMPINGAN
Oleh S Anand Kumar
anand@bharian.com.my
31/12/2009
KUALA LUMPUR: Cuepacs meminta kakitangan awam yang dikategorikan berpendapatan rendah melakukan kerja sampingan untuk menambah pendapatan terutama bagi menampung perbelanjaan kelengkapan persekolahan anak mereka.
Presidennya, Omar Osman bagaimanapun, berkata kesatuan itu yakin kerajaan akan memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500 kepada anggota sektor awam bagi menggantikan bonus sebelum hujung bulan depan.
Beliau mendakwa, pihaknya menerima banyak aduan daripada hampir 860,000 ahli seluruh negara berhubung segelintir peniaga mengambil kesempatan mengenakan harga yang tinggi untuk pakaian seragam sekolah dan peralatan persekolahan.
“Setiap kali Cuepacs mengadakan pertemuan bersama ahli diseluruh negara, soalan pertama yang mereka tanya kita ialah bilakah peruntukan tambahan RM500 itu akan diberikan kerajaan.
“Tujuan Cuepacs meminta kakitangan awam itu untuk bekerja sampingan kerana segelintirnya adalah golongan berpendapatan rendah. Kami faham menjelang pembukaan sekolah ini mereka perlu berbelanja lebih membeli barangan persekolahan untuk anak-anak mereka.
“Cuepacs menyarankan antara kerja sampingan yang boleh dilakukan ialah memandu teksi dan berniaga secara kecil-kecilan di pasar pagi atau pasar malam.
“Kami bukannya mendesak kerajaan tetapi amat berharap demi kakitangan awam berpendapatan rendah kerajaan akan meluluskan peruntukan tambahan RM500 untuk meringan beban kewangan mereka,” katanya kepada Berita Harian, semalam.
Sementara itu, Omar berkata, pihaknya juga amat berharap kakitangan awam berstatus kontrak di bawah kerajaan negeri tidak akan ditamatkan perkhidmatan mereka akhir tahun ini.
“Boleh dikatakan setiap hari Cuepacs menerima panggilan daripada pekerja kontrak ini memohon kami merayu kepada Datuk Seri Najib Razak supaya membantu mereka. Ada yang sudah berkhidmat hampir 20 tahun dan berpendapatan purata sekitar RM1,500 sebulan,” katanya.
Thursday, December 31, 2009
Mesyuarat Majlis Jawatankuasa Tertinggi KPKSM di Hotel Bahagia, Langkawi
Pengerusi KLIA, Sdra. Hj. Zahid (baju kuning)
Monday, December 28, 2009
Cuepacs rayu selesai masalah status kontrak
KUALA LUMPUR: Seramai 30,000 kakitangan awam berstatus kontrak di bawah kerajaan negeri mungkin hilang pekerjaan menjelang tahun depan apabila kontrak perkhidmatan mereka tidak disambung ekoran tiada peruntukan.
Sehubungan itu, Presiden Cuepacs, Omar Osman meminta kerajaan campur tangan dan mencari jalan menyelesaikan masalah berkenaan.
“Boleh dikatakan setiap hari Cuepacs menerima panggilan daripada pekerja kontrak ini memohon kami merayu kepada Datuk Seri Najib Razak supaya membantu mereka. Ada yang sudah berkhidmat hampir 20 tahun dan berpendapatan purata sekitar RM1,500 sebulan,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Omar berkata, secara keseluruhannya ada lebih 60,000 kakitangan awam secara kontrak di negara ini dan sebahagian besar di bawah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Beliau berkata, ketiadaan peruntukan disebabkan keadaan ekonomi tidak menentu adalah punca perkhidmatan mereka tidak dapat disambung.
70 peratus terjejas hak naik pangkat
Oleh Nahar Tajri
nahar@bharian.com.my
Ketua jabatan sengaja wujudkan syarat tambahan
ALOR SETAR: Beberapa jabatan dan agensi kerajaan di peringkat negeri dikesan mengenakan syarat tambahan yang tidak termaktub dalam pekeliling Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berhubung kenaikan pangkat pegawai sokongan yang berkhidmat lebih 15 tahun sehingga menyebabkan kira-kira 70 peratus daripadanya ketika ini dinafikan hak untuk menikmati kemudahan itu.
Presiden Cuepacs, Omar Osman berkata, syarat tambahan yang dikenakan itu menyebabkan kakitangan perlu melalui pelbagai birokrasi termasuk melalui temuduga serta mengisi terlalu banyak borang bagi membolehkan mereka menikmati skim baru yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 14 Mei dan berkuat kuasa 1 Julai lalu.
Beliau berkata, langkah itu ternyata melanggar syarat ditetapkan JPA menerusi surat pekeliling perkhidmatan yang hanya menetapkan kakitangan berkaitan perlu berkhidmat lebih 15 tahun dan mencapai sekurang-kurangnya 80 peratus dalam laporan prestasi bagi tempoh tiga tahun lalu.
"Selain itu, kakitangan berkenaan juga dikehendaki lulus tahap tiga Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) dan tidak disabitkan dengan kesalahan tata tertib iaitu dengan mendapat pelepasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), mengisytiharkan harta, memberikan bukti mereka tidak pernah dikenakan tindakan disiplin dan dicadangkan ketua jabatan masing-masing.
"Tindakan ini jelas tidak bertanggung jawab dan menyekat peluang pegawai sokongan menikmati kenaikan pangkat Khas Untuk Penyandang (KUP) berdasarkan pekeliling yang dikeluarkan JPA," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Perwakilan Pekerja-Pekerja Kerajaan Negeri Kedah kali ke 34 di sini.
Skim KUP yang diumumkan Najib pada Perhimpunan Hari Pekerja Sektor Awam Mei lalu itu, bakal memberi manfaat kepada 176,066 pegawai kumpulan sokongan dalam perkhidmatan Persekutuan yang berkhidmat lebih 15 tahun dengan membabitkan kos sebanyak RM170.4 juta.
Sehubungan itu Perdana Menteri dilaporkan berkata, beliau mahu kakitangan awam menumpukan usaha meningkatkan produktiviti berasaskan inovasi dan pengetahuan.
Omar berkata, Cuepacs akan menghantar surat rasmi kepada semua Setiausaha Kerajaan Negeri mulai hari ini selain turut memaklumkannya kepada Perdana Menteri dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Sidek Hassan.
"Setakat ini, saya tidak mahu sebut secara terperinci mengenai jabatan atau agensi kerajaan di negeri yang terbabit kerana wujud kebimbangan di kalangan ahli kita berikutan peluang mereka mungkin terjejas jika hal ini dilaporkan media.
"Namun, perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia jelas melanggar ketetapan JPA dan menafikan hak kakitangan," katanya.
Monday, December 21, 2009
LANTIKAN WAKIL CUEPACS DALAM ANGKASA - OMAR
21/12/2009
KUALA LUMPUR 20 Dis. - Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) diminta mempertimbangkan pelantikan wakil Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menganggotai Jawatankuasa Tadbir pertubuhan itu secara automatik.
Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata, langkah itu sebagai menghargai sumbangan kakitangan awam yang majoritinya juga adalah ahli Angkasa.
Beliau berkata, 80 peratus daripada 7 juta ahli Angkasa ialah anggota perkhidmatan awam yang masih berkhidmat atau bersara.
''Oleh itu, Angkasa perlu mempertimbangkan pelantikan wakil CUEPACS dalam pertubuhan itu secara automatik.
''Wakil CUEPACS itu hendaklah terdiri daripada Presiden atau sesiapa sahaja yang menjadi presiden kesatuan ini pada masa depan. Wakil CUEPACS tidak perlu bertanding ,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding jawatan Yang Dipertua Angkasa pada Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa ke- 26 hari ini bagaimanapun menarik diri di saat akhir.
Beliau memberi alasan untuk memberi tumpuan penuh bagi memantapkan lagi kesatuan berkenaan.
Menurut Omar, dengan kehadiran wakil CUEPACS dalam kepimpinan Angkasa kerjasama dua hala boleh dipertingkat demi kebaikan ahli.
PENDAPATAN BIDANG KEJURURAWATAN DI MALAYSIA MASIH RENDAH
21/12/2009
KONGRES Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menggesa kerajaan mengkaji semula kadar gaji dan menawarkan insentif menarik dalam bidang kejururawatan bagi memastikan profesion lebih berdaya saing. Presidennya, Omar Osman, berpendapat gaji ditawarkan di negara kita masih ketinggalan jauh lebih rendah berbanding negara lain khususnya Arab Saudi. Walaupun sudah ada kajian berkaitannya dibuat pada 2005, ia masih belum mencapai tahap memuaskan. Oleh itu, beliau menggesa kerajaan mengkaji semula kenaikan gaji kepada jururawat di seluruh negara kerana masih berada pada tahap rendah sedangkan mereka berdepan kos sara hidup yang semakin meningkat.
Skim gaji baru serta insentif itu juga perlu untuk mengelak jururawat berkenaan berhijrah ke negara lain kerana kecewa dengan pendapatan yang diperoleh sekarang. Omar berkata, walaupun skim baru U29 hingga U42 diwujudkan dalam perkhidmatan itu, ia belum memuaskan dan dianggap masih rendah. "Kerajaan juga sepatutnya sediakan insentif tertentu untuk menggalakkan lebih ramai lepasan sekolah menyertai kerjaya ini. Apa yang mengecewakan kita, jururawat yang sudah mengambil sijil asas, tidak mendapat elaun RM100 sekiranya tidak terbabit dalam kerja. Apa gunanya mereka menghabiskan masa selama setahun bagi mendapatkan sijil itu tetapi tidak dapat apa-apa insentif," katanya. Omar berkata, pihaknya juga sedang dalam tindakan untuk menghantar memorandum kepada kerajaan bagi mengkaji bidang kejururawatan serta kerjaya lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang turut berdepan isu sama.
"Kita juga menerima aduan ada jururawat yang berkhidmat di pulau seperti Pulau Pangkor dan Pulau Langkawi tidak menerima sebarang elaun. Kita anggap kawasan itu perlu diberi insentif. Jika guru pedalaman ada elaun, maka jururawat yang bertugas di pulau juga perlu dapat insentif sama. "Saya percaya jika penambahbaikkan dilakukan dalam kerjaya ini dari segi insentif, gaji dan kemudahan kenaikan pangkat, ia akan menjadi lebih menarik. Malangnya apa yang saya lihat kerjaya ini agak statik. Contohnya, kenaikan gaji bagi gred P1T1 (RM827.94) ke P3T24 (RM2,423.63) memerlukan tempoh 30 tahun berkhidmat. "Jadi, tidak mustahil mengapa, ramai jururawat yang sudah tamat kontrak mencari peluang bekerja di negara lain seperti Arab Saudi yang menawarkan pelbagai insentif menarik termasuk gaji yang tinggi," katanya Secara keseluruhan bidang kejururawatan dibahagikan kepada empat bidang asas, iaitu mencakupi jururawat kesihatan, jururawat perubatan, jururawat masyarakat dan jururawat akademik.
Sebagai perbandingan, jururawat yang mempunyai pengalaman dan berkelayakan boleh dinaikkan pangkat ke jawatan ketua jururawat dan penyelia jururawat atau ke bahagian pengurusan. Sebagai contoh, gaji permulaan bagi jururawat ialah pada Gred, iaitu:P1T1 RM827.94 – P1T24 RM2,177.15P2T1 RM880.88 – P2T24 RM2,298.18 P3T1 RM935.33 – P3T24 RM2,423.63.
Dr. MOHD. ALI KEKAL YANG DOPERTUA ANGKASA
20/12/2009
KUALA LUMPUR 19 Dis. - Profesor Datuk Dr. Mohd. Ali Mohd. Baharum mengekalkan jawatan Yang Dipertua Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) dalam pertandingan sengit empat penjuru di sini hari ini.
Beliau memperolehi 1,216 undi mengatasi pencabar terdekatnya, Mustapa Kamal Maulut dengan kelebihan 47 undi.
Mustapa Kamal yang sebelum ini Naib Yang Dipertua Angkasa meraih sebanyak 1,169 undi.
Turut merebut jawatan yang sama ialah Pengerusi Koperasi Shamelin Berhad, Datuk Muhammad Feisol Hassan (90 undi) dan Pengerusi Koperasi Pegawai Pentadbiran dan Pengurusan Tanah Malaysia, Datuk Yidris Abdullah yang mendapat 40 undi.
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Omar Osman yang sebelum ini menawarkan diri untuk bertanding, menarik diri dengan alasan mahu menumpukan perhatian terhadap tugas dalam pertubuhan itu.
Seramai 2,900 perwakilan daripada 1,700 koperasi memilih barisan kepimpinan baru Angkasa hari ini sempena Persidangan Kebangsaan Tahunan Angkasa Ke-26 yang berlangsung dua hari di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.
Bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua, ia tidak dipertandingkan kali ini, sebaliknya pertandingan akan diadakan tahun depan selaras dengan Perkara 30.2 (Undang-Undang Kecil Angkasa).
Penyandang bagi jawatan itu sekarang ialah Datuk Abdul Fattah Abdullah.
Bagi jawatan Naib Yang Dipertua, dimenangi Jamal Abdullah yang memperolehi 824 undi mengatasi lapan pencabarnya.
Jamal ialah anggota Lembaga Pengarah Koperasi Polis Diraja Malaysia yang kini bertugas sebagai Ketua Balai Polis Desa Jaya, Gombak, Selangor.
Jawatan Pengerusi Tetap Persidangan pula dimenangi Pengerusi Koperasi Serbaguna Kawasan Paya Besar Berhad, Datuk Seri Abdul Rashid Abdul Rahman dengan undi 1,478 .
Dua Timbalan Pengerusi Tetap yang dipilih ialah Pengerusi Koperasi Siswazah Intan Usaha Bersatu Berhad (KIUB), Dr. Abdul Rahman Abdul Shaik dan bekas Ketua UMNO Bahagian Selayang, Datuk Ahmad Bahri Abdul Rahman.
Turut bertanding bagi jawatan tersebut ialah Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai Kerajaan Negeri Kedah Berhad, Datuk Mat Rejab Kassim dan Pengerusi Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Lenga Muar Berhad, Abu Bakar Mohamad.
Calon lain ialah Anggota Jawatankuasa Perhubungan Angkasa, Datuk Abu Bakar Shaari; Naib Pengerusi Koperasi Pegawai-Pegawai Hutan Melayu Negeri Perak, Jamaluddin Mohd. Isa; Pengurus Koperasi Ukhwah Cawangan Perak, Abdul Satar Hashim; Ahli Jawatankuasa Tadbir Kebangsaan Angkasa, Bahar Siran; Pengerusi Koperasi Pekebun Getah Melaka, Datuk Jaafar Lajis.
Pemilihan kesemua jawatan itu menggunakan sistem pengundian elektronik (e-voting).
Keputusan pertandingan diumumkan hampir pukul enam petang berikutan kiraan semula undi yang dilakukan sebanyak dua kali.
Friday, December 18, 2009
CUEPACS MINTA KETUA JABATAN BERSIKAP ADIL TERHADAP PEKERJA
16/12/2009
KUALA LUMPUR, 16 Dis (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan memastikan ketua-ketua jabatan bersikap adil serta menjaga hubungan baik dengan kakitangan bawahan.Presidennya, Omar Osman mendakwa kongres itu banyak menerima laporan daripada kakitangan bawahan mengenai ketua jabatan yang "menghina dan menggugut" mereka.Contohnya, seorang kakitangan Jabatan Imigresen mendakwa ketuanya memanggil beliau gemuk dan mendakwa beliau tidak layak menjawat jawatan itu dan diarah berhenti awal, katanya kepada pemberita selepas menutup Bengkel Pemantapan dan Integriti Kesatuan Dalam Perkhidmatan Awam di sini pada hari Rabu.Beliau berkata apabila kesatuan pekerja Imigresen membangkitkan isu itu dengan pihak pentadbiran, kakitangan tersebut telah dipindahkan ke tempat lain, yang sepatutnya tidak berlaku."Kita nasihatkan supaya jangan ada yang membuat penghinaan kepada pekerja, jangan memberi ucapan kepada para pekerja dengan ayat-ayat yang kurang disenangi, pekerja juga merupakan manusia, kita sama-sama bekerja untuk memajukan organisasi."Walaupun mereka merupakan ketua jabatan tetapi tidak bermakna mereka memiliki organisasi tersebut," katanya.Omar juga menasihatkan kakitangan awam yang diugut, dihina dan diminta untuk berhenti oleh sesiapa sahaja di jabatan mereka supaya melaporkan perkara tersebut kepada Cuepacs."Laporkan kepada kita jika perkara ini berlaku supaya kita boleh membawanya kepada peringkat atasan, tidak ada siapa yang boleh memberhentikan pekerja sektor awam ini (tanpa mengikut peraturan)," katanya.Sementara itu, beliau berkata Cuepacs masih berharap agar kerajaan dapat memberikan imbuhan tambahan sebanyak RM500 kepada 1.2 juta penjawat awam di negara ini."Kami masih berharap agar imuhan itu dapat diberikan dalam masa terdekat ini untuk meringankan beban terutama bagi mereka yang berpendapatan rendah, tambahan pula kini cuti sekolah sudah hampir tamat," katanya.-- BERNAMA
Sunday, December 13, 2009
CUEPACS NAFI KHABAR ANGIN PENARIKAN BALIK COLA,ITP
PUTRAJAYA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menafikan khabar angin kerajaan akan menarik balik pembayaran Elaun Sara Hidup (Cola) dan Imbuhan Tetap Perumahan (ITP) kepada kakitangan awam mulai tahun depan. Presidennya, Omar Osman, berkata ini kerana sebarang penarikan elaun perlu dimaklumkan kepada Cuepacs. "Cuepacs tidak menerima sebarang maklumat mengenai penarikan balik elaun itu.
"Malah dalam pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, pada bulan lalu pun, perkara berkenaan tidak dibincangkan langsung. "Mengikut kebiasaan, Cuepacs akan dimaklumkan terlebih dulu jika kerajaan ingin membuat sebarang perubahan dalam pembayaran elaun," katanya kepada Berita Harian di sini, semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan sebuah laman web bahawa pembayaran Cola dan ITP yang dinikmati kakitangan awam ketika ini akan dihapuskan, dalam usaha menjimatkan perbelanjaan kerajaan yang masih belum pulih sepenuhnya ekoran daripada krisis kewangan dunia.
Cola diberi bagi membantu kakitangan awam berikutan peningkatan kos sara hidup dan kadarnya bergantung kepada lokasi selepas mengambil kira pelbagai kos seperti makanan, perumahan, pengangkutan, bayaran tol dan minyak. Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Omar berkata, penarikan balik elaun berkenaan juga tidak wajar kerana ia akan membebankan semua kakitangan awam khususnya kakitangan sokongan. "Tindakan menarik balik kedua-dua elaun itu akan memberi impak kepada semua kakitangan kerajaan bagi jangka masa yang panjang kerana jumlah elaun yang diterima itu agak besar. "Jika dilaksanakan juga, sebahagian besar kakitangan awam khususnya kumpulan sokongan akan berada di bawah Paras Garis Kemiskinan dan sekali gus boleh menjejaskan semua urusan seharian mereka," katanya.
Mengenai permohonan Cuepacs bagi mendapatkan tambahan bantuan khas RM500, beliau berkata, pihaknya tidak dapat mengulas lanjut mengenai perkara itu dan menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk mengumumkannya.
