Berita Harian
Oleh Kamal Ahmad
27/10/2009
SEKTOR awam tidak terkecuali daripada perlu melakukan transformasi segera sejajar tuntutan untuk memastikannya lebih cekap mengurus, berhemah dalam berbelanja serta bertanggungjawab terhadap setiap keputusan dan perkhidmatan yang dihulurkan kepada rakyat atau komuniti industri. Usaha itu sangat perlu khususnya ketika Datuk Seri Najib Razak sudah mula melaksanakan transformasi besar-besaran dalam politik serta pentadbiran untuk memenuhi perubahan pemikiran umum, landskap politik mahupun sosiobudaya. Selepas Umno memulakan transformasi baru-baru, ia perlu disusuli sektor awam bagi melengkapkan landskap baru politik serta pentadbiran negara. Dengan itu, rakyat tanpa ragu lagi pasti boleh menerima hakikat bahawa Umno dan kerajaan yang didukungnya mampu berubah sekali gus memberi sokongan mereka dalam memastikan agenda dan kelangsungan pembangunan negara diteruskan. Bajet 2010 yang dibentangkan Perdana Menteri di Jumaat lalu contohnya, menzahirkan komitmen beliau mahu meningkatkan kecekapan dalam sektor awam menerusi kebijaksanaan mengurangkan kos operasinya serta melaksanakan pengurusan perbelanjaan pembangunan lebih berhemah.
Justeru, jawapan kepada komitmen itu ialah melakukan transformasi drastik dalam sektor awam demi menyaksikan sejumlah wang rakyat diselamatkan daripada dibelanja secara membazir kerana salah keutamaan dan perancangan lemah akan melahirkan ‘projek gajah putih atau projek politik’. Sektor awam yang disertai lebih 800,000 kakitangan memainkan peranan utama menzahirkan aspirasi kerajaan. Antaranya, mewujudkan persekitaran ekonomi yang kondusif dan berkembang; menyokong pertumbuhan dan daya saing dalam industri serta sektor swasta; menyokong keperluan tenaga kerja negara; serta, meningkatkan mutu kehidupan warga negara. Lantas, usaha Najib melakukan transformasi inovasi pentadbiran sektor awam dilihat sangat mendesak kerana ia akan membantu ketangkasan dan kejayaan beliau melakukan perubahan serupa dalam Umno dengan niat meletakkan keutamaan rakyat pada kedudukan teratas.
Najib mengajak ahli dan pemimpin Umno kembali kepada asas perjuangan asal parti sebagai syarat menjayakan transformasi parti itu. Kali ini kakitangan dan pegawai perkhidmatan awam pun perlu ada kesediaan serupa untuk kembali ke atas landasan kerja dan tanggungjawab asal mereka menduduki jentera itu. Mereka perlu jujur, komited, amanah, tangkas tetapi mesra serta memberi perkhidmatan tanpa menyindir atau meminta sogokan. Transformasi sektor awam antara lain memaksa Najib meneroka dan memperkenalkan sikap baru - kreatif, inovatif dan bernilai tambah tinggi berlandaskan sifat murni serta jati diri untuk diterapkan ke dalam sektor itu. Penjawat awam mesti memiliki kemahiran dan kemampuan tertinggi bagi jawatan masing-masing. Mereka dilatih dengan aplikasi terkini, menyerap sistem dan pemikiran baru, mengamalkan nilai murni dan ada jati diri malah memiliki ada daya usaha untuk menyelesaikan permasalahan rakyat selaku pelanggan. Jadi, sangat bijak Najib apabila berkata, kerajaan meneruskan usaha memantapkan institusi latihan kerajaan untuk membentuk penjawat awam berkualiti, berprestasi tinggi dan berpengetahuan. Justeru, Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) di Bukit Kiara distruktur semula sebagai pusat kecemerlangan ilmu bertaraf dunia selepas dinaik taraf sebagai ‘School of Government’ dengan kuasa autonomi, ditadbir secara profesional dibantu tenaga pengajar berpengalaman dan menjalin kerjasama dengan institusi berkaitan terkemuka dunia. “Maksudnya, dalam apa jua yang dilakukan, kita perlu sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara. Oleh itu setiap langkah diambil memerlukan pengorbanan dan kerjasama padu daripada semua lapisan masyarakat,” kata Najib.
Suasana pejabat perlu ditukar supaya lebih ceria bertenaga; lenyapkan muram dan mengantuk di kaunter; buang jauh-jauh layanan kasar atau riak muka cuka; dan kurangkan bersembang sebaliknya pendekkan masa pelanggan menunggu giliran atau menanti jawapan rasmi. Penggerak jentera sektor awam juga digelar ‘orang kerajaan’. Jadi apa saja keburukan atau kelemahan mereka akan mencerminkan imej kerajaan. Sikap dan prestasi buruk mereka akan dijadikan modal politik parti lawan. Umum yang ditujah bertubi-tubi dengan gambaran itu akhirnya menerima persepsi berat sebelah dan turut menuduh kerajaan mengamalkan rasuah sedangkan hakikat gejala itu dilakukan cuma segelintir penjawat awam. Tindak-tanduk mereka akan diputar belit menjadi propaganda untuk memburukkan keseluruhan jentera kerajaan dengan pelbagai label negatif. Sebagai pemacu jentera pentadbiran negara, transformasi sektor itu mampu mengembalikan integriti dan kredibiliti kerajaan yang semakin tebal dibelenggu persepsi buruk seperti mengambil rasuah, tiada kesetiaan dan menjadi talam dua muka, serta suka lengah dan bertangguh menyelesaikan tugas. Bekas Presiden Cuepacs, Datuk Siva Subramaniam, mengakui sektor awam adalah nadi jentera sesebuah kerajaan untuk membuat pacuan ke arah pentadbiran yang dinamik, cekap dan memenuhi aspirasi seseorang Perdana Menteri. “Transformasi perlu dalam sektor awam sekarang kerana berjaya atau gagal pentadbiran Najib turut bergantung kepada sektor itu. Persoalan sekarang ialah, apakah mereka mampu mengikuti gerak tindak Najib yang begitu pantas? “Jentera kerajaan mesti mampu mengikut rentak Perdana Menteri jika tidak aspirasi beliau akan tergendala. Jika jentera kerajaan dipacu perlahan sedangkan Perdana Menteri bergerak jauh lebih pantas dan ke hadapan maka di sini akan berlaku sesuatu yang akan merugikan,” katanya sambil menyarankan transformasi turut merangkumi institusi badan berkanun. Dalam proses transformasi politik dan pentadbiran ini juga, Najib harus mencari penyelesaian menangani gejala rasuah, kes projek politik dan projek gajah putih pada masa akan datang yang turut menyumbang kepada kemerosotan keyakinan umum sebaliknya meningkatkan persepsi buruk terhadap kerajaan selama ini. Jalinan kerjasama semua agensi juga perlu dipertingkatkan lagi untuk menjaga kepentingan rakyat dan negara selain mengelakkan pertindihan dasar, peruntukan, penguatkuasaan mahupun pelaksanaan. Tindakan itu bukan saja akan disokong malah dihormati kerana menyelamatkan banyak wang negara. Tindakan itu juga perlu bagi membuktikan keupayaan Malaysia di bawah pentadbiran Najib mengurangkan semula lebihan perbelanjaan. Andai dapat dilakukan, maka ini akan memberi banyak kesan positif terhadap kerajaan, perdagangan, ekonomi dan penarafan kewangan pada kacamata pelabur asing. Namun transformasi sektor awam mesti dilakukan dengan berhemah kerana khuatir kesilapan melaksanakannya akan memakan diri. Ini lantaran sentiasa ada pihak mengintai peluang merapatkan perhubungan dengan kelompok penjawat awam semata-mata untuk memecahkan tembok monopoli sokongan mereka terhadap kerajaan selama ini.